13 Mei – Sebelum & Selepas
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 3 : Pilihan Raya Umum

MENYINSINGNYA fajar tahun 1969, saya terus sibuk dengan persiapan untuk Persidangan Perdana-Perdana Menteri Komanwel dalam bulan Januari, dan selepas daripada balik  dari persidangan di London itu barulah Kerajaan mengisytiharkan pada 20 Mac bahawa pilihan raya akan diadakan pada hari Sabtu, 10 Mei dan hari penamaan calon ditetapkan pada hari Sabtu, 5 April.

Parti-parti pun mulalah melipatgandakan kempen yang telah mereka jalankan sebelum itu secara sulit. Daripada perkembangan yang berlaku selepas dari itu, maka dapatlah diduga bahawa pilihihan raya pada kali ini akan menjadi sungguh hebat. Gerakan politik bertambah kuat dijalankan, dan apakala hari penamaan calon hampir tiba, pelbagai tekaan di atas pemilihan calon telah timbul; dan parti-parti lawan pula sekali lagi telah cuba bersatu untuk menentang Perikatan. Usaha mereka itu telah gagal, tetapi persetujuan telah tercapai di kalangan beberapa buah parti untuk tidak bertanding sesama mereka.

Jelaslah juga bahawa ugutan Parti Buruh hendak memulau polihan raya itu akan benar-benar dilakukan oleh mereka dengan pihak Komunis menyokong di belakangnya. Pada hari penamaan calon, Polis telah menjumpai 55 bendera komunis di Perak dan pada hari itu juga belia Parti Buruh di Kuala Lumpur telah mengadakan tunjuk perasaaan dengan mengejut. Pada keesokannya, iatiu 6 April, sebuah skuter dipunyai oleh saorang mata-mata (konstabel) telah dijumpai terbakar di Ampang dan sembilan hari kemudian pada 15 April, sebuah kereta ronda Polis telah direjam dengan batu di Cheras. Kedua-dua tempat ini terletak di pinggir Kuala Lumpur.

Pada hari penamaan calon, semua parti seolah-olah menurunkan tandatangan bagi menandakan mulanya pertempuran, dan kempen yang telah pun berjalan dahulu lagi, sekarang akan diperhebatkan.

Cuma sebuah parti sahaja yang bertanding untok semua kerusi, iaitu Parti Perikatan yang memerintah, yang terdiri daripada  Pertubohan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).

Lima buah parti menentang Perikatan. Parti-parti itu ialah parti-parti yang telah bertanding dalam Pilihan Raya Parlimen:

  1. Parti Islam Sa-Tanah Melayu (PAS). Parti Islam yang memerintah negeri Kelantan, dengan mempunyai sembilan orang wakil dalam Parlimen;

  2. Parti Gerakan, sabuah part baru  yang dipimpin oleh Syed Hussain Alatas sebagai Presiden, Dr. Lim Chong Eu dan V. David sa-bagai naib-naib presiden dan Dr. Tan Chee Khoon sebagai Setiausaha Agong;

  3. Parti Tindakan Demokrat (DAP), sebuah cawangan dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura, dengan Goh Hock Guan sabagai Setiausaha Agung dan Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Penyelenggara;

  4. Parti Progressif Rakyat (PPP), dengan Dato’ S.P. Seenivasagam sebagai Presiden; dan

  5. Sebuah parti baru di Seremban yang di-kenali dengan nama Pertubuhan China Malaysia Bersatu (UMCO), dengan Chin See Yin sebagai Presiden.

Selain daripada itu, Parti Rakyat, ia-itu sebuah pertubohan berfaham kiri yang di-pengerusikan oleh Kassim Ahmad dan Syed Hussein Ali sebagai Setiausaha Agungnya, telah meletakkan chalon dalam pilihan raya Majlis Undangan 11 buah Negeri. Beberapa orang calon bebas telah bertanding di peringkat Parlimen dan negeri.di Malaysia Barat telah ditetapkan pada 10 Mei; di Malaysia Timor pula hari-hari mengundi telah ditentukan pada beberapa hari hingga penghujung bulan Jun.           

Kempen itu berjalan selama tujuh minggu sebelum daripada  rakyat menentukan pemilihan mereka pada hari pembuangan undi 10 Mei. Pilihan-pilihan raya  yang lepas di Malaysia boleh dikatakan berjalan dalam suasana harmoni, berbanding dengan kehebohan yang berupa kecaman, perbuatan yang tidak sopan dan perkataan-perkataan yang menyentuh perasaan yang telah timbul dalam pilihan raya tahun 1969 ini.

Dari permulaan kempen itu, Pas telah memainkan sentimen perkauman dan agama untok mendapat sokongan orang-orang Melayu di negeri-negeri , selain dari Kelantan di mana mereka telah pun memegang kuasa. Di satu pihak lagi,  DAP, Gerakan dan PPP yang telah mengapi-apikan perasaan dan sentimen orang-orang Cina, dengan mengatakan bahawa mereka akan merampas hak-hak  orang-orang Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan; dan menekankan bahawa mereka akan mengamalkan dasar berbilang bahasa di Malaysia jika mereka menang dalam pilihan raya itu. Dengan tidak teragak-agak lagi, keempat-empat  parti itu  telah bertubi-tubi menekankan dalam ucapan-ucapan mereka soal-soal  yang sensitif, dengan menyentuh perasaan kedua-dua kaum yang terbesar di-Malaysia.

Sejak pilihan raya tahun 1964, parti-parti pembangkang telah melancarkan dakyah dengan cara halus untuk mendapatkan beberapa buah kerusi dalam pilihan raya  akan datang, tetapi cara mereka berkempen dalam tahun 1969 telah keluar daripada batas kesopanan. Dengan perbuatan yang saperti itu, maka pergeseran antara dua kaum terbesar nampaknya tidak lagi dapat dielakkan. Komunis segera pula mengambil kesempatan daripada suasana yang keruh itu.

Ancaman Komunis yang bergerak dengan berselindong di dalam mana-mana parti dan dengan apa jua cara untuk mencapai tujuan mereka, adalah sangat berbahaya kerana mereka telah menggunakan cara dakyah yang baru bagi mendapat sokongan orang-orang Cina, terutama dari mereka yang enggan menyifatkan Malaysia sebagai negara tempat tumpah taat setia mereka. Mereka menanamkan perkauman dalam hati dan fikiran orang-orang itu untuk menarik mereka masuk dalam gerakan Komunis.           

Pada masa dahulu, ideologi dan cara mereka telah gagal memberi eksan, kerana rakyat telah pun mendapat kebahagiaan hidup dan beroleh apa yang mereka perlukan untok kehidupan mereka. Mereka sendiri telah dapat melihat dan menanggung kesusahan dan kepahitan hidup dalam tempoh 12 tahun Komunis mengganas, dan mereka tidak akan lupa seumur hidup pengalaman yang pahit itu. Jadi taktik baru mereka, tidak akan berkesan ke atas orang-orang yang telah mengalami hidup pada zaman Darurat itu.

Sementara itu kehidupanr rakyat terus berjalan sebagaimana biasa, orang-orang  muda menjadi tua dan kanak-kanak menjadi orang dewasa. Bilangan terbesar pendudok Malaysia pada waktu ini adalah belia belasan tahun atau dalam lingkungan 20-an. Kebanyakan mereka, terutamai yang maseh kecil pada masa Darurat dahulu tentulah tidak ingat tentang bagaimana rakyat negara ini telah hidup dalam kesusahan dan ketakutan kerana keselamatan dan nyawa mereka sentiasa terancam pada waktu itu.

Parti Komunis menghalakan taktik barunya itu kapada pemuda dan pemudi ini kerana pada masa Darurat dahulu mereka belum cukup umur untuk memahami kesan perbuatan komunis itu; tetapi sekarang mereka telah dewasa dan boleh mengundi dalam pilihan raya. Komunis juga telah mempengaruhi dan menyesatkan fikiran belia yang belum boleh mengundi dengan harapan moga-moga gerakan yang dijalankan oleh  belia  itu kelak akan menimbulkan pelbagai kesan sehingga boleh menanamkan rasa gelisah dan menghilangkan rasa kepercayaan di kalangan ibu bapa.

Belia yang mendapat perhatian Komunis ialah mereka yang mempunyai perasan kecinaan yang tebal. Jika tidak kesemua, kebanyakan daripada mereka menumpahkan taat setia mereka kepada negara China. Belia yang seperti ini terdapat juga di kalangan ahli-ahli kesemua parti pembangkang, terutama Parti Buruh yang secara terang-terang menggunakan mereka dalam kempen.

Bukan mudah hendak mengawal belia ini atau menahan mereka daripada masuk Komunis. Mereka boleh masuk dengan fikiran dan fahaman, sekali pun tidak dengan tubuh badan sebagai anggota parti itu. Oleh kerena ibu bapa mereka tidak mengawal mereka, maka hubungan mereka dengan keluarga menjadi renggang dan fikiran mereka hanyut; mereka menjadi sesat dan tidak lagi dapat mendengar dan melihat apa yang ada di sekeliling mereka kecuali pujukan Komunis.

Satu lagi golongan di kalangan belia Cina ialah yang bercita-cita tinggi dan berlagak pandai dan bijak bercakap, yang menggelarkan diri mereka golongan terpelajar, dan baru sahaja lulus universiti dan sekarang boleh mengundi, iaitu pemuda dan pemudi yang enggan mengakui perimbangan kuasa  antara golongan politik dan golongan ekonomi, iaitu satu hakikat yang telah diakui dahulunya oleh semua pihak dan telah ditentukan dengan adilnya dalam Perlembagaan.

Belia ini tepat sabagaimana yang dimaksudkan oleh Robert Louis Stevenson di-dalam tulisan-nya yang berbunyi: “Mungkin politik ialah satu-satunya pekerjaan yang dianggap tidak memerlukan sebarang persiapan atau pelajaran.”

Mereka bercita-cita hendak mengambil bahagian dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan politik, dengan harapan akhir-nya kelak mereka akan dapat menjadi pemimpin utama bagi orang-orang Cina di dalam kedua-dua lapangan ekonomi dan politik di Malaysia. Mereka tidak redha mengakui adannya lagi kekuasaaan politik di tangan Melayu dan dengan itu mereka berpendapat konsep Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh Lee Kuan Yew secocok dengan cita-cita mereka. Mereka juga tidak mengindahkan hakikat bahawa inilah juga sebabnya Singapura telah ditolak keluar dari Malaysia. Oleh kerana corak politik yang dimainkan oleh PAP pada ketika itu tentu akan membawa kapada timbulnya pertelingkahan kaum, maka saya mengambil keputusan memberi kemerdekaan kepada Singapura untok kepentingan keamanan dan kebahagiaan di-Malaysia.

Kedua-dua golongan belia Cina ini, iaitu belia yang masih belasan tahun dan belia  yang di dalam lingkungan umur 20-an, tidak tertarik hati dengan MCA, iaitu parti politik orang Cina yang terbesar yang sentiasa mendapat sokongan yang kuat daripada golongan ahli-ahli perniagaan Cina. Mereka merasa MCA telah berkuasa terlampau lama, dan bersikap terlampau bertolak ansor, dan pebezaan umur di antara pemimpin-pemimpin MCA dengan mereka itu terlampau jauh. Oleh yang demikian mereka tidak bersetuju dengan dasar MCA yang bekerjasama dengan UMNO untok membentuk sebuah negara Malaysia yang bersatu.

Saya berani berkata bahawa cuma sesuku daripada orang Cina di Malaysia atau pun kurang dari itu yang bersetuju dengan pandangan-pandangan mereka itu, atau pun yang menumpahkan taat setia mereka kepada negara China di bawah pemerintahan Mao Tse-Tung. Tiga suku daripada pendudok Cina mahu hidup dalam aman dan harmoni dengan kaum-kaum lain di negara ini  supaya mereka dengan aman dapat mencari kehidupan atau menjalankan pekerjaan mereka dalam perdagangan atau perniagaan atau pun meneruskan perusahaan yang mereka jalankan dari zaman nenek moyang mereka.

Walau sekuat mana pun cinta mereka itu kapada keamanan, orang-orang Cina yang tiga suku itu tidak dapat menahan kemaraan golongan baru itu, apatah lagi hendak menentang mana-mana pertubuhan yang tersusun rapi yang terdiri daripada orang-orang yang bercita-cita hendak menimbulkan kekacauan, seperti komunis. Mereka juga telah menunjukkan bahawa mereka tidak terdaya hendak menentang anasir kongsi2 gelap yang menjadi kuman masharakat yang sentiasa menindas orang-orang Cina.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: