13 Mei – Sebelum & Selepas
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 4 : Kongsi Gelap Dan Orang Cina

KONGSI gelap bukanlah satu gerakan baru di Malaysiai. Anggota-anggota  pertubuhan haram itu adalah sebahagian daripada masyarakat Cina. Apakala kaum Cina mendapat kekayaan, bilangan kuman-kuman masyarakat ini juga menjadi bertambah besar. Pengaruh mereka terdapat di segenap penjuru alam, di mana ada orang Cina, sekalipun di Chicago, San Francisco atau London.

Di Malaysia, di mana orang Cina adalah  kaum yang terkaya, kongsi-kongsi  gelap telah menjadi bertambah kuat kerana mereka mendapat wang daripada ahli-ahli perniagaan dengan cara pemerasan, penculikan, ugutan dan apa jua cara haram. Mereka tidak menumpukan gerakan mereka kapada peniaga-peniaga besar sahaja. Mangsa-mangsa mereka termasuklah perempuan sundal, penari, rumah urut  dan peniaga kecil, dengan cara menuntut wang perlindungan daripada mereka itu.

Pada masa lalu mereka tidak pernah mengambil bahagian dalam politik, kalau ada pun sangatlah sedikit, tetapi dalam tahun 1969 peranan yang mereka mainkan telah menjadi lebeh penting kerana mereka berada di mana-mana  dan ditakuti oleh orang ramai.

Banyak ahli politik Cina yang memberi kerja kapada mereka, sama ada untuk mengawal keselamatan mereka, atau untuk menambahkan pengaruh dan meninggikan kedudukan mereka di kalangan kaum itu, dan dengan itu dapatlah mereka mencapai tujuan mereka. Dengan kerana itu, kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang tidak lagi dianggap sebagai kuman masyarakat, telah mendapat kedudukan penghormatan yang ganjil, seolah-olah sama saperti kumpulan sulit Mafia di Amerika Syarikat; dan dengan kedudukan ini mereka telah menimbulkan satu ancaman dan masalah kapada kebahagiaan hidup masyarakat di Malaysia.

Dalam kempen pilihan raya yang lepas mereka telah mengambil peranan yang baru sebagai wakil calon dan pekerja untok calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya  itu yang manjalankan tugas mereka dengan menggunakan segala tipu helah jahat yang mereka sahaja tahu menjalankannya. Pengundi-pengundi telah diugut supaya mengundi calon-calon yang tidak mereka sukai. Dengan sebab gerakan mereka yang jahat itu, maka perjalanan pilihan raya menurut asas-asas  demokrasi yang sentiasa diamalkan pada masa lalu telah terganggu. Di mana-mana  kuman masyarakat ini campur tangan, maka kempen  telah dijalankan dengan berbagai-bagai-bagai rupa, tetapi tidak lagi mengikut lunas-lunas  demokrasi.

Polis Diraja Malaysia sentiasa bergerak untuk menentang anggota-anggota kongsi gelap itu, terutama dalam masa lima atau enam tahun yang lepas. Maklumat-maklumat yang penting telah diperoleh dalam penyiasatan yang dijalankan mengenai gerakan kongsi gelap itu tetapi polis tidak sangka gerakan mereka akan dijalankan dalam pilihan raya.

Sikap anasir-anasir komunis dan tiga golongan orang Cina yang saya sebutkan di atas telah menyebabkan timbulnya perasaan anti-Malaysia, dan perasaan inilah yang telah ditonjolkan dalam pilihan raya. Banyak sebab-sebabnya, tetapi yang terbesar ialah Bahasa Kebangsaan. Dari beberapa surat yang telah saya terima, nyata-lah banyak orang  Cina dan India berasa tidak senang hati ketika Bahasa Kebangsaan mula digunakan. Oleh kerana bahasa Melayu telah menjadi asas kapada Bahasa Kebangsaan, maka kaum Cina chauvinis (inilah sahaja perkataan yang tepat untok menghuraikan sikap mereka) telah melahirkan perasaan mereka dengan menghasut supaya diadakan sekolah-sekolah dan hospital  yang berasingan dan sebuah universiti untuk orang Cina sahaja.

Alasan yang mereka kemukakan ialah daging babi tidak boleh dihidangkan dalam kantin bangunan yang menempatkan pelbagai kaum. Mungkin soal makanan ini boleh di-jadikan satu isu, tetapi ini adalah satu perkara yang senang diatasi dengan cara mengadakan kantin yang berasingan, atau jika tidak dapat diadakan kemudahan memasak yang berasingan, masih banyak makanan lain yang boleh dihidangkan kapada semua kaum yang tidak menyentuh perasaan mana-mana pihak dari segi agama atau lain-lain. Kenyataan ini terbukti kebenarannya jika kita perhatikan penjualan makanan oleh penjaja-penjaja tepi jalan saperti di Jalan Campbell, Kuala Lumpur, yang sangat digemari oleh semua kaum.

Soal-soal kecil saperti makanan merupakan alasan sahaja. Hakikat yang sebenarnya ialah golongan cauvinis itu menentang langkah menjadikan mereka orang Malaysia. Mereka menentang tujuan ini, dan mereka mahu kekal sebagai orang Cina. Terpulanglah kepada mereka untuk berpegang kapada sikap yang seperti itu, tetapi di dalam masyarakat yang berbilang kaum,  marilah kita semua membulatkan taat setia kapada negara ini, biar apa pun jua asal keturunan kita. Apakala negara mengadakan satu bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, maka saya rasa adalah menjadi kewajipan bagi semua orang memberi sumbangan masing-masing bagi menjayakannya sebagaimana yang telah dipersetujui dan dicatatkan dalam Perlembagaan.

Inilah soal yang menyebabkan MCA hilang pengaruh. Mestilah diakui bahawa dasar Perikatan adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan. Maka sokongan MCA terhadap dasar yang seperti itu adalah betul dan dengan yang demikian patutlah mendapat sokongan daripada orang-orang Cina di Malaysia yang berfikiran waras dan taat setia kapada negara ini. Keengganan orang Cina untuk menyahut seruan supaya terbentuknya satu bangsa Malaysia yang bersatu telah menyebabkan timbulnya perasaan anti-Melayu. Sikap ini disedari oleh orang Melayu, dan oleh kerana marah kapada orang Cina yang tidak memberi kerjasama di atas perkara yang telah dipersetujui, maka mereka pula telah menghasut supaya timbul perasaan anti-Cina, sambil menuduh Kerajaan bersikap lembut.

Perasaan melampau yang ditunjukkan oleh puak kanan atau puak kiri sesuatu kaum itu akan melemahkan usaha hendak menubuhkan satu bangsa Malaysia yang bersatu. Malangnya dalam pilihan raya baru-baru ini, mereka yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab telah mengambil kesempatan yang sepenuhnya untuk meniupkan perasaan  yang seperti itu.

Saya telah melawat seluruoh cerok dan rantau negara selama dua bulan dan mengingatkan pendudok dari semua kaum tentang bahaya corak politik ini, dan juga pergaduhan antara pendudok  boleh memecahbelahkan masyarakat dan menjahanamkan negara yang kita telah bina. Kutub Utara dan Kutub Selatan mustahil akan dapat bertemu , tetapi manusia boleh bercampur gaul di mana-mana jua di atas muka bumi ini.

Saya telah terperanjat apabila orang Cina yang telah menunjukkan sokongan yang kuat kapada calon-calon UMNO pada masa lalu, dengan tidak semena-mena mengubah  sikap mereka dan berpaling tadah menyokong calon-calon Pas pula. Semasa saya melawat bersama-sama dengan kawan-kawan saya ahli MCA, saya telah dapat melihat dengan mata kepala saya sendiri kejadian ini berlaku di kawasan saya. Saya telah melihat orang-orang Cina pergi ke pondok calon  Pas. Tentulah saya terperanjat, dan saya fikir mereka tersalah pergi ke pondok Pas itu.

Apabila saya memberhentikan motokar untuk bertanya, pengundi-pengundi Cina itu telah meradang kerana mereka menyifatkan perbuatan saya itu sebagai mengganggu kebebasan mereka untok mengundi. Saya telah berasa cemas apabila mendapati  kejadian yang sama berlaku di merata  tempat di Utara Kedah.

Sesunggohnya susah hendak difahami kenapa kejadian ini berlaku kerana semasa kempen, calon-calon PAS terang-terang telah menunjukkan sikap anti-Cina, tetapi apabila mengundi parti itu mendapat sokongan daripada orang Cina.

Nyatalah ada perkara sulit yang telah berlaku pada ketika itu. Mungkin mereka telah menerima arahan daripada pihak-pihak tertentu, atau pun mereka telah diugut dan mereka mengundi partiparti pembangkang kerana takut. Apabila salah seorang daripada mereka disoal kenapa mereka telah pergi ke pondok Pas, dia telah menjawab bahawa tidak ada sebab bagi orang Cina takut kepada Pas di Kedah atau di tempat-tempat lain sekalipun dasar parti itu anti orang Cina, kerana orang Cina di Kelantan tidak teraniaya sekalipun parti itu berkuasa dic negeri tersebut.

Satu lagi sebab yang mereka beri ialah beberapa hari sebelum hari mengundi, seorang calon Perikatan telah menghina orang China dengan mengatakan bahawa sekalipun orang Cina tidak menyokongnya, dia masih mempunyai harapan untok menang. Calon itu ialah Dr. Mahathir Mohamad.

Saya dapat tahu kejadian ini daripada Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Dr. Cheah Toon Lock. Saya telah berkata kepadanya bahawa adalah menjadi kewajipan bagi setiap orang China berdiri di belakang Parti Perikatan, kecualilah jika ia menjadi ahli parti pembangkang. Tidaklah patut mereka menghiraukan apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir.

Orang Cina tidak berhak menjadi ahli Parti PAS tetapi sebelum tahun 1966 mereka boleh menjadi ahli bersekutu dalam UMNO, dan ahli biasa dalam MCA yang berikat dengan UMNO. Dengan kerana itu tidak ada sebab kenapa orang Cina patut mengundi calon Pas melainkan untok menunjukkan sikap permusuhan terhadap Perikatan atau pun kerana mereka takut.

Di antara parti-parti pembangkang, Pas adalah parti yang tertua. Dalam pilihan raya yang pertama, iaitu semasa pemerintahan British dalam tahun 1955, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingkan, dan seuah kerusi telah dimenangi oleh ahli PAS dari Perak.

Allahyarham Dato’ Onn dengan secara tidak langsong adalah bertanggungjawab melahirkan Pas semasa beliau menjadi Yang Dipertua  Agung UMNO. Ketika itu dalam UMNO terdapat sebuah jawatankuasa agama yang mempunyai tujuan untok menasehatkan UMNO dalam hal ehwal agama.

Apabila Dato’ Onn meninggalakan UMNO, ahli-ahli jawatankuasa agama itu kemudiannya telah menukarkan corak agama kapada politik supaya dapat bertanding dalam pilihan raya. Langkah itu telah menyebabkan pecahnya kekuatan orang Melayu. Dengan itu muncullah Pas dalam gelanggang politik tanah air kita. Mereka melancarkan gerakan dengan menggunakan agama semata-m,ata kerana pada keseluruhannya orang Melayu berpegang kuat kepada agama Islam. Pada permulaan-nya, parti itu tidak mendapat sambutan yang besar tetapi lama kelamaan mereka telah berjaya mendapat pengikut yang lebeh ramai, terutama  di Kelantan di mana Perikatan memegang kuasa semasa merdeka dahulu.

Dengan kejayaan mereka mendapat penyokong yang besar bilangannya, maka mereka telah mengalahkan Perikatan di Kelantan semasa pilihan raya 1959 dan juga di-Trengganu, dan telah dapat menubohkan kerajaan di kedua-dua  negeri itu. Sungguhpun bwgitu, pada 1962 kerajaan mereka di Trengganu telah dijatohkan oleh Perikatan setelah beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat parti itu melompat masuk Perikatan. Dengan itu tinggallah Pas di Kelantan sahaja yang memegang kuasa kerajaan negeri sementara Perikatan berkuasa di kesemua negeri lain.

Pas tidak pernah mempunyai sebarang tujuan atau rancangan yang tertentu. Mereka bergantung semata-mata kapada isu agama Islam untuk mendapatkan sokongan. Mereka tidak mempunyai pengetahuan untok menggubal satu dasar ekonomi yang membangun sebagaimana yang patut dibuat oleh sesebuah parti politik. Pada satu ketika, seorang ahli wanita Pas, Che’ Khatijah Sidek, yang menjadi ahli Parlimen, telah mengugut hendak keluar dari Pas jika parti itu tidak dapat menyusun satu dasar ekonomi yang tersendiri dalam tempoh enam bulan. Desakan ini tidak menghasilkan sebarang natijah, dan selepas dari itu Che’ Khatijah telah keluar dari gelanggang politik. Pas terus berjalan dengan dasar keagamaannya yang sempit dengan tidak mengubahkan coraknya sehingga hari ini, bahkan menambahkan lagi soal-soal perkauman yang sempit.

Mereka berkata, Tunku telah menjual Singapura kepada orang China dan kemudiannya akan menjual Malaysia pula. Apa yang sangat mengecewakan ialah orang ramai percaya dengan tuduhan itu.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: