13 Mei – Sebelum & Selepas
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 10 : Mabuk Kemenangan

Sebagaimana yang telah saya sebutkan dalam bab lalu, keputusan pilihanraya 1969  telah memeranjatkan semua pihak parti politik. Saya percaya mereka yang paling terperanjat ialah DAP dan Gerakan di atas kejayaan yang mereka sendiri tidak sangka. Lalu mereka terus berasa sombong dan bongkak.

Dengan kelakuan sombong yang mereka tunjukkan itu, maka tidaklah boleh hendak disalahkan jika pelawat-pelawat asing menyangka bahawa parti-parti itulah yang telah memenangi Ppilihan raya pada keseluruhannya. Parti-parti itu dengan tidak berlengah-lengah lagi mengaturkan perayaan menyambut `kemenangan’ mereka.

Pada pagi hari Isnin, 12 Mei, Dr. Tan Chee Khoon yang telah memenangi kerusi dalam kawasan Batu Selangor, dengan kelebihan undi yang besar, telah meminta kebenaran polis untuk mengadakan satu perarakan kemenangan oleh anggota-anggota Parti Gerakan. Satu permit telah dikeluarkan dengan syarat perarakan itu melalui jalan-jalan yang telah dipersetujui oleh polis. DAP pula telah membuat keputusan hendak mengadakan perarakan pada hari esoknya, hari Selasa, 13 Mei dengan tidak mendapatkan kebenaran polis. Cadangan ini tidak diteruskan. DAP telah campur sama dalam perarakan Gerakan.

Pegawai Penjaga Daerah Polis, Kuala Lumpur, Abu Bakar bin Abdul Aziz, dalam kenyataan-kenyataan yang tercatat melapurkan sebagaimana berikut mengenai dengan permohonan Dr. Tan itu:

”Pada 12 Mei 1969, Dr. Tan Chee Khoon telah menelefon saya dan meminta kebenaran hendak mengadakan satu perarakan kemenangan untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokongnya dalam kawasan pilihan rayanya sahaja, iaitu Batu, Sentul dan Jalan Ipoh. Dia hendak memulakan perarakan itu dari ibu pejabatnya di Jalan Broderick. Dia hendak memulakannya pukul 4.30 petang dan berakhir pada pukul 7.00 petang. Bilangan orang yang akan mengambil bahagian ialah kira-kira 500 dan akan diadakan juga perarakan bermotokar.

”Kemudian saya telah berunding dengan Encik Mansor mengenai jalan-jalan yang hendak dilalui dan juga waktu bagi perarakan itu, dan telah mengambil keputusan iaitu oleh kerana jam 4.30 petang ialah waktu yang sangat sibuk (untuk lalu lintas), maka kami fikir perarakan itu patutlah dimulakan dari jam 5.30 petang. Jika tidak, perarakan itu akan menimbulkan kesusahan kepada orang ramai.

”Saya telah menerangkan kepada Dr. Tan Chee Khoon hal ini. Dia bersetuju, tetarpi dia telah meminta supaya perarakan itu berakhir sejam kemudian kerana waktu mulanya pun telah dilambatkan satu jam. Kami telah bersetuju atas permintaannya itu dan satu lesen telah dikeluarkan atas namanya”.

            Dari segi politik, perarakan kemenangan Dr. Tan itu merupakan satu cara yang belum pernah dilakukan seumpamanya pada masa lepas. Setelah perarakan yang berlesen itu tamat, perarakan-perarakan haram yang penuh dengan perbuatan dan kelakuan biadab dan samseng telah diadakan. Mereka telah melanggar perintah-perintah polis, dan melalui jalan-jalan yang tidak diberi kebenaran sehingga mengendalakan lalu lintas. Perasaan gila kemenangan telah memuncak dan tidak terkawal lagi, dan pihak komunis pasti pula mengambil kesempatan menghasut dan menghangatkan perasaan mereka. Orang-orang yang menang pilihan raya telah membuat satu kesilapan yang besar, sekalipun mungkin mereka tidak bertanggungjawab atas kejadian itu.

            Perarakan haram ini telah masuk ke Jalan Campbell dan Jalan Hale, iaitu jalan-jalan menghala masuk ke Kampung Baharu di mana kira-kira 30,000 orang Melayu telah hidup dengan rukun damai dalam kawasan mereka sendiri yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur selama bertahun-tahun. Jalan Hale ialah sebatang jalan besar di Kampung Baharu. Di sepanjang jalan itu mereka telah bertempik sorak dan apakala mereka berada di kawasan orang-orang Melayu itu, mereka telah mengejek-ejek dan menunjukkan kebesaran mereka untuk menaikkan perasaan marah orang-orang Melayu. Mereka melakukan perbuatan ini di kawasan yang boleh dikatakan kubu UMNO.

            Mansor bin Mohamed Noor dalam satu kenyataannya bertulis telah melaporkan sebagaimana berikut:

”Satu kumpulan yang ramainya kira-kira 20 orang telah berhenti di hadapan Balai Polis Jalan Travers. Seorang darinya telah melaungkan perkataan ”Melayu mati” di hadapan rumah kediaman anggota-anggota polis di balai itu, dan juga menunjukkan kemaluannya kepada polis dengan disaksikan oleh isteri-isteri anggota polis yang ada dalam kawasan rumah kediaman mereka. Seorang mata-mata (konstabel) telah membuat report (aduan) di atas kelakuan biadab dan tidak sopan itu.

”Selepas itu, mereka telah berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil. Salah satu daripadanya telah pergi ke Jalan Mountbatten menahan kereta-kereta orang-orang Melayu dan memaki hamun mereka itu dengan tujuan hendak menghina mereka. Mereka telah mengancam dan menonyoh mata anak perempuan OCPD (Ketua Polis Daerah) sendiri yang berumur kira-kira 17 tahun. Sambil itu mereka berkata ”Engkau Melayu Bodoh”, ”Tiada Kuasa”. Seorang pemuda Melayu telah melaporkan ke Ibu Pejabat Polis yang dia telah dipukul oleh tiga orang Cina di Foch Avenue”.

            Yeoh Teck Chye dari Parti Gerakan yang menjadi Yang Di-Pertua Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia telah mengaku bahawa kelakuan mereka yang mengambil bahagian dalam perarakan haram itu telah mengganggu keamanan orang ramai. Beliau ialah calon Gerakan yang menang dengan kelebihan undi yang besar dalam kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

            Pada hari Selasa, 13 Mei, dia telah minta maaf secara terbuka dalam akhbar di atas kelakuan penyokong-penyokong partinya yang telah menyusahkan orang ramai, tetapi telah terlambat kerana perbuatan mereka amatlah memedihkan hati orang-orang Melayu. Memang patut dia meminta maaf kerana selepas perarakan Dr. Tan itu bersurai pada pukul 8.00 malam sebagaimana yang dipersetujui, dia sendiri telah mengambil bahagian dalam perarakan haram sebagaimana yang tercatat dalam laporan polis.

            Dari peristiwa-peristiwa yang berlaku pada malam itu, maka jelaslah bahawa pemimpin-pemimpin Gerakan tidak lagi dapat mengawal perasan pengikut-pengikut mereka, bahkan meerka sendiri telah terheret sama. Merekalah yang bertanggung jawab menghidupkan perasaan itu. Setelah perarakan berlesen itu bersurai, penyokong-penyokong mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan. Mereka merayau ke sana sini sambil melaung-laungkan kemenangan mereka, dan dua perarakan haram lagi telah dimulakan.

            Abu Bakar bin Abdul Aziz, Pegawai Penjaga Daerah Polis Kuala Lumpur melaporkan dalam satu kenyataan bertulis:

”Saya sedang berada di bilik kawalan pada pukul 10.10 malam dan saya telah terima maklumat bahawa Yeoh Teck Chye telah mengepalai satu perarakan di Jalan Bukit Bintang dengan tidak mendapat kebenaran. Satu lagi perarakan datang dari Petaling Jaya dikepalai oleh V.David, juga tidak mendapat kebenaran. (V. David dari Parti Gerakan telah memenangi kerusi Parlimen di Pulau Pinang, dan juga kerusi Dewan Undangan Negeri, di Selangor iaitu negerinya sendiri.)

”Saya telah beri perintah supaya kedua-dua perarakan ini mesti berhenti kerana tidak ada kebenaran polis. Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah dihantar untuk menyuraikannya.

”Sementara itu perarakan di Bukit Bintang itu telah bersurai tetapi perarakan yang diketuai oleh David telah pergi ke Peking Hotel (Jalan Brickfields) di mana 200 orang pemuda India sedang menunggu. Pasukan FRU telah dihantar ke sana untuk menyuraikan mereka”.

”Kemudian David telah cuba berhubung dengan Ketua Pegawai Polis tetapi tidak dapat; dia kemudian berhubung dengan saya. Dia beritahu saya jangan menghantar anggota-anggota polis FRU untuk menimbulkan provokasi di kalangan penyokong-penyokongnya. Ketika itu jam menunjukkan pukul 12.05 pagi 13 Mei.

”Saya beritahu padanya bahawa penyokong-penyokongnya (mereka nyatalah sedang mabuk kemenangan dan mabuk todi) telah mengganggu ketentaraman orang lain dengan membuat bising dan saya telah pun menerima beberapa panggilan telefon yang mengadukan hal ini. Saya beritahu kepadanya bahawa perhimpunan itu mestilah bersurai kerana jika tidak mereka akan disuraikan dengan paksa.

”Dia tanya sama ada saya kenal siapa dia. Saya jawab saya kenal dia sebagai Encik David. Dia kemudian berkata dialah seorang Ahli Parlimen yang baru dipilih. Saya jawab kepadanya, itu tidak menjadi soal, tetapi yang penting pada saya ialah dia mesti memberitahu penyokong-penyokongnya supaya bersurai kerana jika tidak anggota FRU akan menyuraikannya. Dia langsung berkata ”Pergi berambus FRU,  kamu anak haram”, dan terus menghentakkan telefon.

”Sebahagian daripada perarakan itu telah juga pergi ke Pudu dan melemparkan perkataan-perkataan menghina orang-orang Melayu dan Polis.

”Sebuah lori yang berisi penuh dengan penyokong-penyokong Gerakan yang bertempik sorak telah pergi ke sekeliling Sentul tetapi telah ditahan oleh polis kerana lori itu tidak ada permit pengangkutan.

”Dari apa yang dapat dilihat, DAP juga ada campur dalam perarakan itu tetapi payah hendak mengenal mereka terkecuali dari cogan parti merka. Susah hendak dikatakan siapakah yang patut disalahkan, tetapi pada perasaan saya kedua-dua Gerakan dan DAP patut sama-sama disalahkan kerana menimbulkan perbuatan kacau yang boleh memecahkan keamanan. Jika polis tidak segera bertindak, maka kekacauan mungkin telah berlaku”.

            Patut diambil perhatian bahawa kedua-dua perarakan yang disebut oleh Abu Bakar dalam kenyataannya itu telah dijalankan dengan tidak mendapat kebenaran polis. Jika Parti Gerakan benar-benar hendak mengadakan perarakan kemenangannya sahaja, maka bagaimana pula boleh timbul perbuatan-perbuatan tunjuk perasaan pada malam itu juga?

            Sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Bakar, kedua-dua perarakan itu telah bersurai, tetapi kelakuan-kelakuan liar dan perbuatan-perbuatan menyakitkan hati terus juga berjalan kemudian dari itu. Perarakan itu telah berpecah kepada beberapa kumpulan untuk menimbulkan tunjuk perasana di tiga bahagian Kuala Lumpur, di Brickfields, di Pudu dan di Sentul. Kawasan-kawasan ini terletak satu di Selatan, satu di Tengah dan satu lagi di Utara bandar Kuala Lumpur, dan jauh jaraknya di antara kawasan yang pertama dengan kawasan yagn ketiga ialah hampir-hampir tujuh batu. Tunjuk-tunjuk perasaan ini berlangsugn hingga lepas tengah malam.

            Saya rasa tidak syak lagi tunjuk perasaan yang diadakan di merata-rata tempat secara berasingan itu bertujuan untuk mengeruhkan lagi suasana di Kuala Lumpur yang telah pun menunjukkan tanda-tanda ketegangan.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)

Advertisements
%d bloggers like this: