13 Mei – Sebelum & Selepas
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 12 : Tindakan Dan Kejadian

HARI Rabu, 14 Mei 1969 adalah hari yang sibuk bagi saya dan penuh dengan tindakan-tindakan dan kejadian-kejadian yang menakjubkan.

            Inilah hari Rabu yang pertama selepas daripada hari mengundi, dan sekiranya negara tidak berada di dalam kekacauan, maka menurut kebiasaannya saya patut menerima panggilan daripada Istana Negara untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua parti Perikatan yang menang dalam pilihan raya untuk menerima surat tauliah bagi menubuhkan sebuah Kerajaan baru.

            Selepas mengadap dan setibanya saya balik ke Residency, barulah saya mengambil keputusan untuk melantik ahli-ahli Kabinet dan mengaturkan supaya menteri-menteri yang dilantik pergi ke istana untuk mengangkat sumpah dihadapan Duli Yang Maha Mulia di mana saya sendiri hadir bersama. Biasanya hari mengangkat sumpah diadakan dengan istiadat yang penuh penghormatan dan merupakan satu majlis yang gembira.

            Sebaliknya oleh kerana saya terpaksa menghadapi krisis negara, maka saya telah mengadap Duli Yang Maha Mulia untuk melaporkan bencana yang telah menimpa negara kita ini dengan tidak semena-mena.

            Saya juga telah mengadakan satu mesyuarat khas antara menteri-menteri kanan Kabinet lama pada pagi itu di Residency dan telah juga menjemput Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, seorang rakan kabinet yang telah bersara untuk hadir dalam mesyuarat itu.

            Saya telah menawarkan dirinya kepada Tun Abdul Razak menerusi telefon dahulu semalam untuk perkhidmatan kepada negara dalam apa jua jawatan jika saya memerlukan perkhidmatannya. Tun Abdul Razak telah menyampaikan ucapan terima kasih kepadanya, lebih-lebih lagi kerana beliau tahu bahawa Tun Dr. Ismail tidak begitu sihat dan telah bercadang hendak pergi ke England untuk diperiksa oleh seorang pakar perubatan.

            Pada kebiasaannya hari Rabu ialah hari mesyuarat Kabinet, tetapi pada kali ini mesyuarat yang pertama bagi Kabinet yang baru tidak diadakan dan sebagai gantinya saya telah mempengerusikan sebuah Kabinet sementara bagi ’Darurat’. Saya telah memberitahu rakan-rakan saya mengenai cadangan-cadangan yang saya telah putuskan pada malam tadi.

            Pertama sekali saya telah memberitahu mereka bahawa perlulah saya menasihatkan Duli Yang Maha Mulia supaya mengisytiharkan darurat di seluruh negara kerana tidak ada jalan lain lagi yang lebih berkesan untuk menghadapi keadaan yang sedang berlaku. Saya juga memberitahu mereka bahawa pilihan raya di Malaysia Timur kenalah ditangguhkan dengan tidak tentu masanya.

            Saya juga telah mengambil keputusan hendak menubuhkan sebuah Majlis Gerakan Negara untuk menyelenggara segala perkara-perkara yang bersangkutan dengan darurat. Serentak dengan itu saya juga akan menubuhkan sebuah Kabinet Darurat yang terdiri daripada ahli-ahli yang lama dan ahli-ahli yang baru untuk menyelenggara perkara-perkara pentadbiran.

            Tujuan saya menubuhkan sebuah Kabinet Darurat ialah supaya di satu masa kelak dapat dirundingkan bagi penubuhan sebuah Kabinet yang kekal, dan buat sementara waktu dapatlah Kabinet Darurat ini menguruskan dengan serta-merta segala perkara-perkara yang berlaku dari sehari ke sehari untuk melicinkan pentadbiran. Saya telah memberitahu menteri-menteri kanan bahawa saya akan pergi ke Istana pada petang itu juga untuk memohon kuasa dari Duli Yang Maha Mulia bagi melaksanakan keputusan ini.

            Saya telah berunding dengan Tun Abdul Razak bagi menyusun satu rancangan untuk pembahagian makanan kepada orang-orang yang tinggal di kawasan-kawasan yang telah dikenakan perintah berkurung selama 24 jam pada ketika itu dan mereka tidak dapat keluar dari rumah untuk membeli barang-barang makanan yang mereka perlukan. Kami telah mengambil keputusan untuk menjadikan Sekolah Hishamuddin sebagai pusat pembahagian makanan kerana sekolah itu terletak di tengah-tengah ibu kota. Beliau telah mengambil tindakan dengan segera dan pada pagi esoknya pusat pembahagian makanan itu pun mulalah dibuka. 

            Apabila saya melawat ke pusat itu pada hari yang tersebut saya sangatlah tertarik hati dengan kerja bersungguh-sungguh yang telah dilakukan  oleh beratus-ratus orang sukarelawan, beberapa orang daripada mereka terdiri daripada diplomat asing dan isteri-isteri mereka. Mereka itu telah menolong membungkus makanan untuk dibahagikan kepada orang ramai.Ramai  daripada mereka comot dengan tepung di muka dan pakaian tetapi mereka bekerja dengan riang dan tenang sekalipun kerja itu berat dan tidak pernah mereka buat sebelumnya. Seorang pegawai muda diplomat telah berkata dengan berseloroh ”sekarang kami menjadi orang bunga” apabila saya lalu berdekatan dengannya. Pada mulanya kerja itu agak kelam-kabut sedikit kerana sukarelawan-sukarelawan itu tidak berpengalaman. Tetapi selepas beberapa hari, kerja-kerja di pusat pembahagian makanan itu telah berjalan dengan lancar.

            Pada petang itu saya telah memanggil Peguamcara ke rumah saya untuk merangkakan bersama-sama dengannya pelbagai perisytiharan darurat dalam negara dan juga mengisytiharkan seluruh kawasan dalam Persekutuan sebagai kawasan keselamatan. Pada malam itu juga saya telah mengadap Duli Yang Maha Mulia di Istana bagi mendapatkan tandatangan Baginda atas ke semua pemasyhuran itu.

            Pada malam yang kedua itu juga saya telah berucap sekali lagi menerusi televisyen dan radio untuk memasyhurkan penangguhan pilihan raya di Malaysia Timur. Selepas itu saya telah pergi ke Ibupejabat Polis Selangor sehinggalah lepas tengah malam. Begitulah yang telah saya lakukan pada 15. Mei. Pendek kata saya telah melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan saya pada 13, 14 dan 15 Mei dengan bersungguh-sungguh dan dengan rasa yang penuh dukacita  siang dan malam. Ketika itulah mata kanan saya telah bertambah rosak.

            Saya terapaksa membuat keputusan dan menjalankan tindakan-tindakan yang tersebut itu dengan sebab saya sedar di atas kewajipan Kerajaan unutk menyelamatkan nyawa dan harta benda. Saya insaf bahawa oleh kerana saya menghidapa keuzuran mata, maka tidaklah dapat saya hendak menjalankan kedua-dua tanggungan mentadbirkan negara ini dan menghadapi darurat dengan cekap sebab kerja-kerja itu banyak dan memakan masa.

            Sebab itulah saya telah memohon persetujuan Duli Yang Maha Mulia untuk melantik Tun Abdul Razak, yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, sebagai pengarah bagi Majlis Gerakan Negara yang dicadangkan. Saya rasa pilihan saya ini sangatlah tepat kerana beliau seorang yang masih muda dan lebih cergas, dan mempunyai tenaga yang banyak. Beliau sangatlah munasabah diberi tanggungan yang berat untuk mengembalikan keamanan di negeri ini memandang kepada pengalaman beliau yang luas di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Negara.

            Masalah yang kita hadapi ialah mengenai persoalan hidup atau mati sebilangan rakyat negara ini. Oleh yang demikian kewajipan kita ialah memberi keyakinan kepada mereka supaya hilang rasa takut dan bimbang di atas perbuatan-perbuatan puak-puak pelampau dan pengkhianat-pengkhianat dari apa jua kaum.

            Kita semua mestilah sedar bahawa krisis ini telah timbul dari pertelingkahan kaum, satu keadaan yang lebih buruk daripada keganasan Komunis, sebab kejadian ini boleh menjahanamkan seluruh asas negara dan boleh menumbangkan keteguhan negara sekiranya tidak diatasi dengan cepat dan berkesan. Kita tidak boleh membuang masa lagi untuk bertindak.

            Kita boleh nampak dengan jelas tanggungan dan kewajipan kita. Tun Razak ialah orang yang paling layak menjalankan kerja yang berat itu. Saya yakin dan percaya bahawa dengan pertolongan anggota-anggota Kabinet, pasukan-pasukan keselamatan dan kakitangan Kerajaan serta rakyat yang sangat taat setia, maka tujuan dan cita-cita kita akan dapat dicapai tidak lama lagi.

            Oleh yang dimikian saya telah sanggup turun satu atau dua tingkat untuk memberi kuasa yang penuh kepada Tun Razak menjalankan kerja yang penting itu, tetapi saya masih tetap menjadi Perdana Menteri, dan dengan yang sedemikian bertanggungjawab di atas segala tindakan mengenai darurat. Tun Razak sentiasa berunding dengan saya.

            Pada masa yang lepas sebahagian orang-orang Cina yang tertentu telah menfitnah Tun Razak dengan mengatakan bahawa beliau tidak suka orang-orang Cina atau pun anti orang Cina. Saya telah kenal biasa dangan Tun Razak sebagai seorang rakan dan sahabat dan selama saya menjadi Perdana Menteri saya dapati beliau adalah seorang nasionalis dan seorang patriot. Beliau juga seorang yang sanggup berkorban untuk bangsa dan negara, dan adil dalam petimbangannya.

            Selain daripada itu saya berani menambahkan lagi kenyataan saya itu mengenai Tun Razak. Pertalian saya dengan Tun Razak merupakan satu ikatan yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah. Selama beberapa tahun dari semenjak merdeka, perhubungan kami ini tidak dapat dipisahkan, kerana ia terjalin dengan satu ikatan saling mengerti dan hormat-menghormati antara kami berdua. Persahabatan kami sama ada dalam jawatan atau pun di luar jawatan sangatlah erat sehingga kami sentiasa saling bergantung. Beliau boleh mendapatkan nasihat saya pada sebarang waktu, sama ada siang atau pun malam, dan saya pula boleh berpaling kepadanya untuk mendapatkan buah fikiran pada bila-bila masa sahaja yang saya perlukan. Kalau saya dipanggil ’Bapa Malaysia’, maka Tun Razak adalah seorang yang menjadi pencipta kemerdekaan kita.

            Kerja-kerja Tun Razak dalam masa darurat sudah cukup untuk membuktikan dengan jelas kesanggupan beliau untuk menjalankan tugas dan kesediaan beliau untuk memberi apa jua rupa pengorbanan. Bersama-sama dengan ahli-ahli Kabinet yang lain, beliau dapat menyakinkan kita semua bahawa setiap orang di negara ini akan dapat hidup dengan aman dan harmoni dan bebas daripada sebarang ketakutan dan kebimbangan.

            Sikap Tun Dr Ismail masuk balik ke dalam Kabinet ketika negara sedang dalam krisis juga merupakan satu tindakan yang sungguh mulia. Beliau telah membuktikan diri sebagai seorang yang amat setia kepada negara dan sahabat-sahabatnya. Saya sukacita menyatakan bahawa boleh dikatakan kesemua ahli-ahli Kabinet Perikatan mempunyai semangat kesetiaan yang seperti ini. Selain daripada itu, sikap mereka bekerjasama sebagai satu pasukan merupakan kejayaan yang menggalakkan.

            Pada malam 15 Mei saya menerima satu laporan yang mengatakan bahawa satu kejadian yang telah berlaku di Melaka di mana seorang telah terbunuh dan seorang lagi tercedera. Saya segera mendapatkan sebuah helikopter untuk pergi ke Melaka pada pagi 16 Mei.

            Setibanya saya di lapangan terbang Melaka, saya telah dibawa terus ke Ibupejabat Polis untuk mendengar laporan-laporan. Kemudian saya pergi melawat ke tempat kejadian.

            Menurut Polis Melaka, samseng-samseng Cina telah menyerang dua orang pengayuh beca roda tiga Melayu, di Jalan Bandar Kubu dan memukul mereka dengan kejam sehingga seorang daripada mereka telah mati kemudiannya, tetapi seorang lagi telah dapat menyelamatkan dirinya.

            Ketika itu polis sedang menjalankan rondaan, dan mereka mengejar samseng-samseng itu. Samseng-samseng itu telah lari masuk ke sebuah bangunan rumah pangsa dengan diburu oleh polis. Sejurus kemudian satu tangkapan telah dibuat.

            Setelah dijalankan penyiasatan, maka terbuktilah bahawa seorang ahli parti politik pembangkang telah memberi upah kepada samseng-samseng itu untuk mencetuskan sesuatu kejadian. Bagi memendekkan cerita, ahli parti politik tersebut itu telah di tangkap kemudianya di sebuah negara lain dan ditahan.

            Kemudian saya pergi ke Ibu Pejabat UMNO di Melaka untuk bertemu dengan beratus-ratus orang ahli UMNO yang datang dari beberapa buah negeri termasuk Kedah dan Negeri Sembilan kerana mereka terlantar di negeri itu, Mereka telah datang ke Melaka untuk merayakan Mandi Safar dan oleh kerana adanya perintah berkurung, mereka tidak dapat pulang ke negeri masing-masing. Selepas mangaturkan perjalanan pulang mereka dengan diiringi oleh pasukan kawalan, maka saya pun pulang ke Kuala Lumpur.

            Saya sentiasa sibuk dan tidak pernah berdiam diri sejak meletusnya kekacauan. Setiap hari saya bermesyuarat dengan menteri-menteri kanan, melawat ke pusat-pusat orang pelarian dan pusat pembahagian makanan, dan juga pergi ke Ibu Pejabat Polis Selangor untuk mendengar laporan dan memberi arahan.

            Pada petang 16 Mei sekembalinya saya dari Melaka, saya telah memanggil mesyuarat menteri-menteri di Residency, dan dalam mesyuarat itulah Tun Razak telah dilantik dengan rasminya sebagai Pengarah Gerakan Negara. Pelantikanya itu telah diumumkan dalam Warta Kerajaan pada hari yang berikutnya, 17 Mei.

            Dalam mesyuarat itu juga saya telah memberi kerja tertentu kepada menteri-menteri yang lain bersangkutan dengan darurat, seperti menguruskan hal-hal pembahagian makanan, menubuhkan pasukan kawalan (vigilante corp) dan menyebarkan maklumat-maklumat yang betul dan benar kepada orang ramai.

            Lewat hari ini, saya telah melawat Ibu Pejabat Palang Merah untuk menyaksikan beratus-ratus sukarelawan, lelaki dan perempuan, tua dan muda, yang sedang berkerja dengan riang untuk membungkus dan manghantar pakaian ke tempat-tempat yang diperlukan oleh orang ramai. Dari sana saya telah pergi ke Stadium Merdeka dan Stadium Negara di mana lebih 3,000  orang diberi perlindungan. Saya telah berbual-bual dengan mereka dan berunding cara-cara bagaiamana orang-orang yang tidak mempunyai rumah dapat diberi rumah baru, dan perkara-perkara mengenai dengan kemungkinan mereka dapat hidup kembali mencari nafkah masing-masing seperti dahulu. Saya juga telah pergi ke Masjid Kampung Baru di mana beberapa orang sedang diberi perlindungan. Sesetengahnya telah datang kerana hendak mengambil bahagian dalam perarakan dan tidak dapat pulang ke rumah masing-masing, dan yang lain lagi telah datang ke situ kerana mencari perlindungan.

            Segala kerja yang saya sebutkan tadi belumlah mengakhiri kewajipan-kewajipan saya untuk hari ni. Kerja saya yang paling penting sekali akan menyusul pada malamnya. Pada malam itulah saya telah menaiki kereta menuju ke Televison Malaysia dan membawa di dalam saku saya sekeping kertas yang mengandungi tulisan yang amat bersejarah yang pernah saya karang selepas daripada Pemasyhuran Kemerdekaan 12 tahun yang lepas. Dalam ucapan itu saya telah memberitahu rakyat Malaysia dan seluruh dunia bahawa selepas daripada kejadian-kejadian bunuh membunuh dan bakar membakar yang telah berlaku selama tiga hari tiga malam yang lepas telah mengorbankan banyak jiwa dan menjahanamkan harta benda, maka perbuatan-perbuatan itu mestilah diberhentikan sama sekali.

            Sungguhpun hati saya hancur dengan apa yang akan saya isyhtiharkan dalam ucapan saya itu, tetapi saya juga berasa insaf bahawa inilah langkah yang sebaik-baiknya. Dalam ucapan saya itulah saya telah mengishtiharkan darurat di seluruh negara.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)

Advertisements
%d bloggers like this: