13 Mei – Sebelum & Selepas
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 5 : Tipu Helah Dalam Kempen

PAS telah cuba hendak meluaskan pengaruhnya keluar dari Kelantan ke negeri  Kedah dan Perak dengan mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil di negeri-negeri itu, tetapi mereka telah gagal. Saya diberitahu soal-soal agama tidak begitu menolong parti itu di negeri-negeri Pantai Barat, kerana orang-orang di situ lebih luas pandangannya dan lebeh menghormati hak-hak orang lain untuk memilih agama masing-masing. Mereka lebeh progresif atau lebeh maju dalam cara pemikiran berbanding pandangan sempit orang Kelantan.

Dalam pilihan raya 1969 pula, Pas telah mengubah taktiknya dengan melancarkan kempen mencemarkan nama baik UMNO dengan mempermain-mainkan sentimen bangsa sehebat-hebatnya supaya timbul rasa benci orang ramai kapada parti itu. Cara itu telah memberi kejayaan yang besar kapada mereka. Mereka menuduh UMNO pro-Cina dan menjual negara kapada orang Cina. Mereka telah menggunakan cara yang tajam dan halus dalam kempen anti-Cina yang mereka lancarkan di kawasan luar bandar di negeri-negeri Utara Pantai Barat. Mereka menanamkan perasaan takut dan curiga di hati orang Melayu yang memang berhati bersih dan berpegang kuat kepada agama bahawa orang Cina hendak memegang kuasa seluruh negara dan menuduh saya telah memberi peluang itu kapada orang Cina.

Untuk menjadi bukti kapada dakwaan mereka, maka mereka telah menyebar ke seluruh kampong gambar Khir Johari,  seorang Menteri Kabinet dan isterinya memakai pakaian orang Cina Mandarin. Gambar itu telah diambil di Hongkong secara bersuka-suka untuk dihantar kapada kawan-kawannya sebagai ucapan Selamat Tahun Baru. Pakaian ini ada disediakan di restoran untok pelancong menggunakannya bagi mengambil gambar sebagai tanda ingatan lawatan mereka ke Hongkong.

Khir Johari ialah seorang yang suka melawak, dia dan isterinya telah menggunakan gambar ini untuk kad Selamat Tahun Baharu Cina yang telah mereka kirimkan kepada kawan-kawan Cina mereka dalam bulan Februari sebagai menunjukkan rasa muhibah. Masing-masing  yang menerima-nya telah gelak ketawa melihat gambar itu. Pas segera mengambil kesempatan menggunakan gambar ini sebagai satu senjata untuk kepentingan politik mereka. Gambar ini telah diedarkan seluas-luasnya di kalangan orang Melayu sambil memburuk-burukkan Khir dan menuduh dia telah menjadi orang Cina. Kasihan Khir! Tujuannya hendak berjenaka itu telah merugikan dirinya dan dia telah kehilangan banyak undi dalam pilihan raya itu.

Ini satu sahaja contoh yang menunjukkan sejauh mana pihak Pas sanggup melakukan perbuatan kotor dan tipu helah untok mencari kemenangan dalam politik. Perbuatan mereka sangatlah khianat dan liar. Inilah satu penipuan yang sehabis busuk yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.

Misalnya Pas telah menyebarkan fitnah dengan mengatakan saya seorang Siam, pada hal mereka tahu ayah saya ialah Almarhum Sultan Kedah. Mereka juga menuduh saya beragama Buddha, walhal mereka tahu banyak perkara kebajikan yang telah saya buat untuk agama Islam semenjak lepas Merdeka. Saya bukanlah seorang yang takbur, tetapi saya boleh mendakwa bahawa jasa saya kapada agama Islam adalah setanding dengan yang dibuat oleh mana-mana pemimpin negara Islam yang lain di zaman moden ini.

Dalam kempen pilihan rayanya, Pas telah memburokkan peribadi pemimpin-pemimpin  UMNO. Mereka telah menyerang peribadi pemimpin UMNO secara kotor yang tidak mungkin sesapa pun tergamak melakukannya. Mereka tahu apa yang mereka katakan mengenai pemimpin UMNO termasu saya sendiri tidaklah benar, tetapi mereka pergi dari kampug ke kampung untuk melancarkan kempen yang bohong dengan tidak menghiraukan apa jua akibatnya atau pun apa yang mereka lakukan itu boleh memarakkan api permusuhan antara kaum. Mereka tidak peduli apa yang akan terjadi asalkan mereka dapat menang kerusi dengan apa jua cara sakalipun.

Saya sendiri telah cuba untuk mendapatkan gambar yang telah ditunjukkan oleh Pas kepada orang ramai di kawasan pilihan raya  saya. Gambar itu kononnya menunjukkan saya menggunakan chopstick di satu majlis makan Cina. Dengan secara tipu mereka telah meletakkan satu gambar lain ke atas gambar yang tersebut yang menunjokkan seekor anak babi terhidang di tengah-tengah  meja di majlis itu. Saya berani bersumpah bahawa seumor hidup saya, saya tidaklah pernah menghadziri majlis jamuan makan Cina yang ada menghidangkan daging babi, atau pun apa jua makanan lain yang haram bagi orang Islam. Kawan-kawan  Cina saya sentiasa  menjaga supaya kejadian seperti ini tidak berlaku, kerana mereka sendiri tahu apa yang haram dimakan oleh orang Islam.

Tuduhan yang mengatakan saya bukan Islam adalah satu fitnah yang sangat kotor kerana mereka sendiri tahu bahawa saya telah pergi ke Mekah untok menunaikan fardu haji, dan mereka juga tahu bahawa saya anak kapada seorang yang warak dan lebai. Saya percaya orang-orang yang akan membaca kandungan buku ini akan terperanjat dengan perbuatan sebuah parti politik seperti Pasyang sanggup meletakkan dirinya begitu rendah untuk mencari kemenangan.

Sekalipun saya seorang yang kuat berpegang kapada ajaran Islam, tetapi sebagai Perdana Menteri saya telah menerima banyak jemputan ke majils sosial dan sebagainya, dan telah menikmati makanan Eropah, makanan Cina atau makanan India. Saya telah merasmikan pembukaan tempat-tempat ibadat bagi orang-orang  yang beragama lain, dan saya juga telah mengarahkan supaya wang diberi untok membina tempat-tempat ibadat bagi agama-agama lain  di Malaysia.

Wang yang diperoleh adalah daripada orang-orang yang berbagai-bagai-bagai agama, dan dengan itu patutlah diberikan juga wang untuk tempat ibadat mereka. Saya masih ingat lagi bagaimana orang-orang daripada pelbagai agama telah menghulurkan derma yang berjumlah berjuta-juta ringgit ketika saya melancarkan derma untok membina Masjid Negara.

Kesemua orang dalam negara telah memberi sumbangan mereka kapada kekayaan negara dan dengan wang ini dapatlah kita membuat bermacam perkara yang memberi manafaat kepada orang Islam, seperti membina masjid, surau dan sekolah agama. Begitu juga untuk mengadakan perayaan agama. Semua perkara ini dilakukan untuk kepentingan agama Islam, agama rasmi kita.

Orang-orang bukan Melayu tidak pernah menimbulkan bangkangan terhadap apa yang telah dibuat dan sedang diusahakan oleh Kerajaan untuk agama Islam. Mereka juga tidak pernah menyoal berapa banyak wang yang telah dikeluarkan untok mengembangkan Islam. Saya berani berkata dengan tegas bahawa Kerajaan Perikatan telah membuat lebih banyak kebajikan untuk Islam daripada  yang boleh dibuat oleh Pas, sekalipun dalam negeri pemerintahan mereka sendiri.

Saya telah memberi beberapa contoh di atas mengenai kelakuan khianat yang dilakukan oleh Pas, tetapi masih banyak lagi dakayah bohong dan fitnah yang terlampau kebudak-budakan  dan terlalu menyentuh peribadi untuk saya catatkan di dalam buku ini. Kalau sekalipun saya menulisnya, tidak ada siapa yang akan percaya.

Orang-orang yang mempunyai fikiran tidak dapat memahami perbuatan Pas semasa pilihan raya itu. Sesiapa yang kasih kapada negara tentu tidak dapat bersetuju dengan kelakuan mereka. Dalam pilihan raya itu satu perkara ganjil tetapi benar telah dilakukan oleh Pas. Jika benar sebagaimana yang mereka katakan bahawa mereka anti-China, kenapa-kah pula mereka bersubahat dengan DAP, Gerakan dan PPP?

Tujuan Pas nyatalah untuk memecahkan undi Melayu supaya calon-calon Perikatan yang bertanding di beberapa kawasan tertentu tidak akan menang, dan pakatan mereka yang jahat ini telah berjaya. Mereka meletakkan calon-calon mereka di kawasan-kawasan  di mana pengundi Melayu tidak pun mencukupi untok menjayakan seseorang calon  Pas dan dalam sesetengah kawasan pula mereka mungkin hilang wang pertaruhan sekalipun mereka berjaya mendapatkan kesemua undi Melayu di kawasan itu. Dengan perbuatan mereka berpakat dengan partiparti pembangkang yang anti-Melayu, Pas telah membuktikan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk mendapatkan keuntungan dalam politik.

Jika begitulah sikap mereka, lebeh baiklah mereka menolong MCA, iaitu sebuah parti yang sentiasa mempunyai pandangan Malaysia dan telah membuktikan taat setianya kapada negara  ini. Tetapi sebalik, di mana-mana MCA bertanding melawan calon dari parti yang anti-Melayu, Pas juga akan masuk dalam kawasan itu untok menghalang orang Melayu daripada mengundi calon MCA, atau sekurang-kurangnya memecahkan undi se-hingga calon Perikatan itu kalah dalam pertandingan tiga penjuru, samalah seperti yang mereka lakukan di kawasan  di mana calon UMNO bertanding.

Saya suka menunjokkan dua kejadian yang membuktikan mereka telah menolong partiparti anti-Melayu. Di kawasan Setapak,  Selangor, seorang yang saya tidak suka hendak sebutkan namanya telah kelihatan memberi wang kapada seorang ahli Pas. Orang ini ialah ahli DAP. Dalam kawasan Sepang, juga dii Selangor, calon-calon DAP dan Pas telah melancarkan kerja mereka dari sebuah pejabat, dan pekerja-pekerja DAP yang terdiri daripada orang Cina telah menampalkan poster untok calon Pas. Bukti ini cukuplah untuk menafikan dakwaan Pas bahawa mereka sebuah parti Melayu yang berdasar Islam. Mereka sanggup menghina agama untuk kepentingan politik dan wang.

Mereka berjanji akan menubuhkan sebuah negara atau kerajaan Islam jika mereka memegang kuasa. Tetapi mereka tidak pula menerangkan rupa dan bentuk kerajaan yang mereka angan-angankan itu. Kita dapat meragui sama ada mereka akan memenuhi janji mereka jika mereka berkuasa kelak.

Pas sedar bahawa mereka tidak ada harapan untuk mengambil kuasa negara ini dan kemungkinan yang seperti ini belumlah lagi terbayang. Dengan kesedaran yang seperti ini, maka mereka boleh melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membuat janji-janji palsu untuk menyedapkan telinga orang Melayu yang jahil tentang hal ehwal dunia. Tentulah banyak orang Melayu yang tertarik dengan janji hendak menubuhkan sebuah Kerajaan yang tidak berchampor dengan kaum-kaum lain. Orang Melayu tentu-lah sangat tertarik dengan kemungkinan negara ini dikendalikan oleh orang Melayu sahaja kerana inilah negara  tumpah darah mereka.

Dalam masa berkurun-kurun lamanya, dari satu keturunan ka satu keturunan, Malaysia telah diperintah oleh kuasa-kuasa asing _ Belanda, Siam, British dan Jepun. Oleh itu, kemungkinan negara ini di-perentah oleh orang Cina tentulah sangat dibenci oleh orang Melayu, kerana persetujuan telah dichapai semasa Merdeka dahulu bahawa Malaysia mestilah mempunyai keperibadian dan corak kebangsaan yang berteraskan Melayu. Beberapa perkara hak orang Melayu dijamin dalam Perlembagaan. Menurut apa yang di-katakan oleh Pas, semua hak ini akan hilang kiranya Perikatan menang.

Sementara itu, lain-lain parti pembangkang bertalu-talu pula menggembur-gemburkan konsep Malaysian Malaysia, dan ini mengurangkan sokongan orang ramai kepada MIC dan MCA dan menambahkan lagi kecurigaan orang Melayu. Oleh itu, konsep Malaysia untok orang Melayu sahaja yang ditonjolkan oleh PAS lebih senang mendapat sokongan orang Melayu. Sebagaimana kebanyakan orang China menyokong konsep Malaysian Malaysia yang dianjorkan oleh Lee Kuan Yew, maka begitulah juga orang Melayu menyokong cita-cita ini. Dengan cara itu,  kedua-dua  pendapat cauvinis yang tersebut telah saling menolong.

Langkah Pas menolong atau menggunakan parti-parti pembangkang yang pro-Cina dan parti-parti lain yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang melampau itu tentulah ada sebab yang tertentu. Tindakan mereka sangatlah berbahaya seperti bom atau torpedo yang telah di-tentukan masa meletup-nya.

Sebuah akhbar Hongkong bernama ”The Star” telah melaporkan pada 17 Jun bahawa Bank of China di Singapura telah tidak dapat mengimbangkan kira-kira kewangannya kerana beberapa jumlah wang yang besar telah dikeluarkan ”untok membiayai gerakan kekacauan di Singapura dan Malaysia”. Ada keterangan yang menunjukkan bahawa wang itu telah diberi kapada beberapa pihak yang tertentu di Kelantan untuk membiayai perbelanjaan kempen Pas. Terang dan jelaslah bahawa orang Melayu yang menyokong Pas  tidak terdaya hendak mengeluarkan berjuta-juta ringgit untok pilihan raya itu. Wang itu tentulah datang dari satu punca tertentu, dan saya suka menegaskan bahawa punca itu bukan diketahui oleh Parti Pas sahaja.

Sekiranya Pas telah menerima bantuan wang daripada Komunis, maka berertilah pemimpin-pemimpin parti itu telah memperdaya dan mempermainkan orang-orang  mereka sendiri. Kebanyakan daripada soaln agama yang dibangkitkan oleh Pas itu tidak selaras dengan fahaman  Islam zaman tamadun dan bertentangan dengan keadaan yang terdapat di sekitar Malaysia pada hari ini. Pas telah mengambil kesempatan daripada kejahilan orang-orang miskin untok menjalankan taktik tipu helahnya, tetapi dosa mereka yang lebih besar lagi terhadap orang-orang mereka sendiri dan juga ke atas agama Islam, yang menjadi tunjang politik mereka, ialah perbuatan mereka membiarkan diri mereka digunakan oleh kuasa-kuasa  lain untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)

Advertisements
%d bloggers like this: