13 Mei – Sebelum & Selepas
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 6 : Sidang Islam Yang Bersejarah

SALAH satu daripada perkara yang sangat dikesali dalam kempen pilihan raya tahun 1969 ialah sewaktu Pas sedang mengecam Kerajaan Perikatan, terutamanya UMNO dalam soal-soal agama Islam, maka pada ketika itulah juga Malaysia sedang mencipta satu sejarah baru untuk dunia Islam. Sungguhpun Malaysia bukan sebuah negara yang bercorak ugama, tetapi Islam ialah agama rasminya.

Tidak kurang daripada 23  buah negara Islam yang terdiri daripada pelbagai  bangsa telah bersidang di Kuala Lumpur untuk membuat keputusan mengenai berbagai-bagai  masaalah yang melibatkan orang-orang Islam di merata dunia. Inilah julung kalinya negara-negara Islam telah berkumpul di satu tempat untok membincangkan agama Islam dan hubungannya dengan dunia moden, dan Malaysia patut mendapat kepujian yang penuh di atas kejayaannya menganjurkan persidangan yang bersejarah itu.            

Berlakunya persidangan ini dalam masa kempen pilihan raya adalah dengan secara kebetulan sahaja kerana kerja-kerja  merancang dan membuat perhubungan untuk menyediakan persidangan itu telah dijalankan selama beberapa tahun yang lepas. Se-benarnya saya telah melahirkan cita-cita saya di Masjid Woking, London dalam tahun 1961. Cita-cita saya ialah untuk mengadakan satu badan negara-negara  Islam yang di-panggil “Komanwel Islam”.

Tetapi sebelum daripada saya melanjutkan penerangan mengenai persidangan ini, elok-lah saya menegaskan terlebih dahulu perkara-perkara yang telah dibuat oleh Malaysia untuk agama Islam kerana Pas telah mereka pelbagai tuduhan yang tidak berasas dalam pilihan raya. Sebenarnya dalam hati kecil saya, saya sentiasa berasa bangga kerana kesemua kejayaan yang telah dicapai untok kemajuan agama di negara  ini adalah di luar dugaan kita.

Pertama, kita telah mengantikan dengan bangunan-bangunan baru kesemua masjid lama dan tempat-tempat ibadat saperti surau dengan perbelanjaan wang kerajaan yang besar, dan tsetiap bangunan itu berbentuk mengikut yang sesuai dengan keadaan dan keinginan orang-orang di  tempat itu sendiri.

Kenapa Kerajaan memberi pandangan yang sebagitu berat terhadap pembinaan masjid? Pertama ia-lah untuk menawan hati semua orang di negara ini yang berpegang teguh kapada agama Islam; dan kedua ialah untuk meletakkan agama Islam di tempat yang tinggi dan mulia, sesuai dengan tarafnya sebagai agama rasmi negara ini menurut Perlembagaan.

Tuan-tuan akan dapati bahawa masjid-masjid yang dibina di kawasan baru adalah terletak di atas tapak yang elok, sepadan dengan kedudukan martabat agama rasmi negara. Orang ramai berkumpul di surau-surau yang beratus-ratus banyaknya untuk sembahyang, untuk berbual-bual dan bergaul dengan bebas pada setiap ketika, sama ada di majlis bercorak agama atau pun sosial. Perbelanjaan yang secukupnya telah diberi, dan segala keperluan untuk pembinaan telah diadakan. Mishalnya, jalan-jalan masuk dan ekalan air paip telah diadakan di semua masjid dan surau baru, walhal pada zaman dahulu orang-orang  Islam di negara ini bergantung kapada perigi yang dikorek di tempat-tempat yang tidak menurut kehendak kesihatan, atau pun bergantung kapada air hujan yang ditakung dalam kolah tempat berwuduk. Banyak masjid telah buruk dan bangunannya yang rosak tidak dibaiki kerana tidak ada wang. Kejadian ini berlaku sebab pada umumnya taraf ekonomi orang Melayu adalah rendah.

Soal yang kedua ialah sekolah-sekolah ugama. Kerajaan telah membina banyak sekolah dengan perbelanjaan yang besar, dan merancangnya menurut kehendak rakayat. Guru-guru  telah dilatih khas untok mengajar di sekolah-sekolah agama itu. Semua sekolah ini disesuaikan dengan sistem pelajaran yang telah diluluskan oleh Kerajaan. Selain bahasa Arab yang menjadi bahasa Quran, penuntut diajar bukan sahaja bahasa kebangsaan, bahkan juga bahasa Inggeris. Sebenar-nya Kerajaan mengadakan apa jua yang di-perlukan oleh sekolah-sekolah agama itu, padang-padang  permaianan dan kemudahan-kemudahan  lain.

Usaha besar untuk membina bangunan-bangunan  itu berjalan di segenap pelusuk Malaya sebelum tertubuhnya Malaysia, dan dasar ini terus diamalkan hingga sekarang. Sekalipun Kerajaan Kelantan dikuasai PAS, tetapi hal ini tidak menghalang Kerajaan Perikatan daripada menghulurkan bantuan wang untuk membina bangunan agama di negeri itu. Bolehkah terbayang dalam fikiran sesiapa jua yang Kerajaan PAS Kelantan akan menghulurkan bantuan walau satu sen pun untuk membina sebuah masjid atau surau di luar negeri Kelantan? Sebenar-nya dalam negeri mereka sendiri pun mereka tidak berbuat bagitu; mereka telah bergantung sepenuhnya kapada Kerajaan Perikatan untuk membuat kemajuan bagi kepentingan agama dari segi pembangunan, tetapi mereka yang dapat nama.

Dalam bulan puasa, Kerajaan Pusat menggalakkan masjid-masjid memberi jamuan kapada orang ramai dan mengadakan majlis  supaya kuranglah kepenatan berpuasa dan menunjukkan keistimewaan bulan Ramadan sebagai bulan umat Islam melebihkan amalan ibadat yang kyusuk kapada Tuhan. Pertandingan membaca Quran dianjurkan dengan diberi hadiah kapada pemenang. Bermacam-macam-macam perkara lain dibuat untuk menyambut bulan yang mulia itu supaya mereka yang berpuasa merasa dirinya hampir kapada Allah, dan meletakkan mereka di tempat yang lebeh mulia daripada  orang-orang yang tidak dapat menahan nafsu mereka dengan kesenangan dunia. Orang-orang Islam yang ada di seluruh negara telah ditolong oleh Kerajaan untuk menyambut bulan yang berkat ini dengan sepatut-nya.

Malaysia adalah negara yang pertama memulakan Pertandingan Al-Qur’an pada tahun 1960. Pertandingan ini diadakan tiap-tiap tahun di peringkat negeri untuk memilih johan bagi memasuki pertandingan peringkat kebangsaan. Selain itu, negara-negara luar juga dijemput untuk mengambil bahagian dalam pertandingan di peringkat Antarabangsa.

Sejak pertandingan Quran diadakan, Malaysia telah menerima sanjugan yang besar dan pandangan yang tinggi oleh dunia Islam  yang tidak pernah diberikan kapada negara-negara  Islam yang lain kecuali Arab Saudi di mana terletak kota suci Mekah dan Madinah.

Pada zaman atom lebih laju dari suara, Malaysia telah menjadi masyhur di seluruh dunia Islam sebagai sebuah negara yang terkemuka untuk memberi nafas baru kapada agama Islam. Pada zaman inilah juga manusia telah menunjukkan tanda-tanda kelemahan, hilang iman kapada Tuhan dan kepercayaan sesama manusia, sambil itu mencari pendapat-pendapat yang baru, cara hidup yang baru dan dunia untuk ditakluki. Bagi kita orang Islam, kita berpegang teguh kapada agama kita untuk menguatkan iman kita. Malaysia telah memberi pimpinan ini kepada dunia Islam semasa kerajaannya dipegang oleh Perikatan.

Di negara-negara Asia yang lain, pemimpin-pemimpin politik telah menyedari bahawa kemajuan dan pembangunan negara mereka telah terjejas apabila ahli-ahli agama mengganggu perjalanan politik sesebuah negara, tetapi kesedaran mereka itu telah terlambat sehingga merugikan negara mereka sendiri. Seorang Perdana Menteri telah hilang jiwanya, dan negaranya telah mundur akibat gangguan agama di dalam politik. Sesungguhnya keadaan yang seperti ini telah berlaku pada zaman dahulu, tetapi dalam dunia bertamadun pada hari ini kejadian yang saperti itu tidak lagi berlaku di negara-negara Eropah yang progresif. Sebenarnya di kebanyakan negara Islam, agama Islam diletakkan di tempat yang sewajarnya untuk dijadikan makanan rohani, dan politik untuk kemajuan negara, dan sebagaimana yang pernah di-katakan “politik ialah satu ilmu yang digunakan pada waktu yang diperlukan.”

Kejayaan yang paling tinggi yang dicapai oleh Malaysia dalam menjalankan dasarya yang luas untuk agama Islam ialah Persidangan Negara-Negara Islam yang telah diadakan dalam bulan April, 1969 di Kuala Lumpur. Dalam persidangan ini pemimpin-pemimpin Islam yang terkemuka dari seluruh dunia telah berhimpun untuk mengambil keputusan atas masalah-masalah agama yang dihadapi bersama oleh seluruh umat Islam saperti waktu sembahyang di sesetengah tempat yang tidak nampak matahari, atau pun apakah hukum Islam di atas pemindahan anggota orang Islam kapada orang yang bukan Islam untuk kepentingan sains dan perubatan.

Perkara yang terbesar ialah persidangan ini merupakan satu peristiwa yang sangat menggembirakan kerana inilah kali pertama begitu banyak negara Islam, iaitu 23 buah semuanya telah datang dengan perasaan muhibah dan persaudaraan untuk berbincang, sama ada hal-hal politik atau ekonomi, dan mereka itu datang sebagai wakil Kerajaan masing-masing.

Pada masa lalu, kebanyakan negara Islam telah berpecah atau pun tidak mengambil hirau antara satu dengan lain. Malaysialah Negara Islam yang pertama berjaya mengadakan satu mesyuarat di peringkat Kerajaan yang boleh menimbulkan rasa kecenderungan di kalangan pemimpin-pemimpin Islam, dengan harapan perjumpaan di Malaysia ini akan disusuli pula dengan beberapa persidangan lain pada masa akan datang dan juga akan merapatkan ikatan persaudaraan di kalangan semua negara Islam.

Saya suka mengulangi sekali lagi bahawa persidangan yang penting saperti itu sangatlah bersejarah, tetapi malangnya ada orang-orang yang tidak menyedari tentang makna peristiwa yang bersejarah itu. Pada saya nilai Persidangan Negara-Negara Islam ini hampir sama dengan kejayaan mencapai kemerdekaan Malaya. Kemerdekaan memberi taraf kapada manusia yang telah hidup berkurun-kurun lamanya sebagai hamba abdi. Persidangan ini menarik pandangan dunia.

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)

Advertisements
%d bloggers like this: