13 Mei – Sebelum & Selepas
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 8 : Pengundi-Pengundi Membuang Undi

CUACA di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia pada hari mengundi yang jatuhnya pada hari Sabtu, 10 Mei, kelihatan begitu cerah. Ini telah diberitahu kepada saya semasa saya berada di Alor Star kerana terdahulu sehari daripada hari itu saya telah melawat kawasan pilihan raya saya Pulau Langkawi. Mungkin juga boleh difahamkan bahawa pada hari itu saya bukanlah seorang Perdana Menteri lagi tetapi sebagai seorang calon yang menyerahkan nasibnya kepada pengundi-pengundi untuk mendapatkan persetujuan mereka menurut asas-asas demokrasi.

            Akhirnya tamatlah kempen yang hangat yang belum pernah berlaku seumpamanya dalam sejarah negara kita yang telah timbul semata-mata dengan sebab adanya perasaan dendam politik. Hari itu adalah hari untuk menentukan nasib. Suruhanjaya pilihan raya telah mengambil tanggungjawab penuh untuk mengawal pilihan raya itu, dan sebelum pengundi-pengundi memberi mandat mereka, dan sebelum laporan-laporan diterima mengenai pengundian itu, tidak ada siapa pun yang dapat meramalkan hasil pilihan raya.

            Sungguhpun terdapat kempen-kempen yang liar yang belum pernah saya alami pada  masa lalu, saya berasa begitu yakin bahawa Parti Perikatan akan menang sekali lagi dengan kelebihan dua pertiga sebagaimana dalam pilihan raya sebelumnya.           

            Saya rasa adil sekiranya saya katakana bahawa keputusan yang seperti inilah yang diharap-harapkan oleh seluruh negara, kecuali ahli-ahli parti pembangkang yang telah bersungguh-sungguh hendak menumbangkan Parti Perikatan. Mereka berdoa dan berharap tetapi mereka sendiri tidak menaruh kepercayaan terhadap  kejayaan mereka.

            Pilihan raya di Malaysia lebih susah daripada yang dijalankan di kebanyakan negara lain kerana pengundi-pengundi dikehendaki membuang undi mereka pada satu masa yang sama untuk memilih calon-calon bagi Parlimen dan bagi Dewan Undangan Negeri. Dengan adanya sebelas buah Dewan Undangan Negeri dan sebuah Parlimen maka bererti 12 pilihan raya  dijalankan pada satu hari yang sama.

             Saya telah menjelaskan bahawa UMNO dan MCA telah menjadi sasaran hebat parti-parti pembangkang menyerang Kerajaan Perikatan dalam kempen. Tetapi apakah pula sikap yang diambil oleh parti-parti pembangkang terhadap Persatuan India Malaysia (MIC), parti yang ketiga dalam Perikatan?.

            Pas telah membuat serangannya dengan cara yang jahat terhadap UMNO; parti-parti pembangkang yang lain pula, sama ada dengan perhitungan yang tertentu atau pun cuma untuk kepentingan pilihan raya, telah menumpukan serangan mereka terhadap calon-calon MCA. Manakala penyokong-penyokong Parti Komunis telah menghasut anasir-anasir pembangkang sama ada dengan cara terang atau sulit.

            Parti-parti pembangkang pada umumnya tidak menunjukkan sebarang rancangan yang bersatu menentang MIC. Mereka rasa lebih berkesan kiranya mereka menggongcang dua tiang Parti Perikatan, UMNO dan MCA kerana mereka percaya MIC akan tumbang dengan sendirinya setelah mereka dapat menjatuhkan UMNO dan MCA. Berbanding dengan UMNO dan MCA, MIC Cuma mengemukakan tiga orang calon Parlimen sahaja. Oleh itu pihak pembangkang boleh menyifatkan MIC sebagai anggota Perikatan yang tidak penting.

            Mereka menganggap MIC sebagai lawan yang kecil. Sungguhpun begitu, untuk menjamin kemenangan maka mereka telah memecahkan kempen-kempen mereka menentang calon-calon MIC menerusi dua parti; DAP menyerang dalam dua kawasan dan PPP menumpukan ke atas pemimpin MIC, Tun Sambanthan yang bertanding satu lawan satu.

            MIC ialah satu-satunya parti untuk orang-orang India di Malaysia, sekalipun bilangan orang-orang yang berketurunan India lebih dari sejuta. Tiga buah parti pembangkang telah mengemukakan calon-calon India, iaitu Gerakan, DAP dan PPP. Calon-calon Gerakan ialah bekas ahli-ahli Parti Buruh. DAP dahulunya telah diwakili dalam Parlimen oleh seorang ahlinya sahaja, dia ialah C. Devan Nair, tetapi pada kali ini dia tidak mahu bertanding, sekalipun beliau dahulunya adalah salah seorang dari ahli-ahli Dewan Rakyat puak pembangkang yang terkenal. Mengapa dia tidak bertanding tentulah menjadi satu tanda tanya. Mungkin DAP sahaja yang tahu jawapannya. Selain dari tiga orang calon India untuk Parlimen, DAP telah mengemukakan seorang calon Melayu yang tunggal, tetapi dia kalah. Inilah rupanya yang dikatakan konsep Malaysian Malaysia!

            Dalam keseluruhannya kaum India di Malaysia ini mempunyai sifat keperibadian yang berlainan dari kaum-kaum Melayu dan Cina. Orang-orang Melayu pada keseluruhannya menjadi kaum tani, sementara orang-orang Cina pula umumnya berpecah dalam lapangan perniagaan, pertanian dan perlombongan. Orang-orang India terdapat dalam semua bahagian masyarakat Malaysia, kira-kira separuh di luar bandar dan separuh dalam bandar.

            Orang-orang India juga kebanyakannya menguasai kesatuan sekerja dan bergerak menerusi kesatuan-kesatuan sekerja inilah mereka menekankan pengaruh. Sesungguhnya bolehlah dikatakan bahawa orang-orang India Malaysia lebih banyak menceburkan diri dalam kesatuan daripada parti politik, dan bagi mereka yang cenderung dengan parti politik tidak pula ketinggalan daripada mengadakan hubungan yang rapat dengan kesatuan sekerja.

            Sebagai contoh, orang-orang India terdapat di mana-mana jua sebagai pekerja perusahaan dan buruh kasar, terutama dalam Keretapi Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pelabuhan dan Perusahaan Getah. Kesatuan Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang sebilangan besar anggotanya terdiri adalah rang India, ialah sebuah kesatuan yang paling besar di negeri ini dan salah sebuah dari yang terbesar di Asia. Ia tidak terikat kepada mana-mana parti politik, dan pucuk pimpinannya sangat berpengaruh dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia. Kongres ini juga menjauhkan dirinya daripada pengaruh parti-parti politik, tetapi pemimpin-pemimpin kongres membiarkan ahli-ahlinya memilih sendiri corak-corak politik yang mereka sukai. Orang-orang India juga sangat kuat dalam Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)

            Oleh yang demikian tidaklah memeranjatkan jika dikatakan bahawa orang-orang India pada keseluruhannya tidak begitu cenderung dalam lapangan politik jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain, tetapi mereka lebih mengambil berat dalam soal kenaikan gaji. Dari masa ke masa pemimpin-pemimpin kesatuan mereka telah mengangkat rayuan kepada Kerajaan menuntut kenaikan gaji bagi pekerja-pekerja kerajaan. Oleh kerana Kerajaan ialah majikan yang terbesar dalam negara, tentulah Kerajaan tidak dapat memberi sambutan terhadap setiap tuntutan kenaikan gaji itu, kerana perbelanjaan menjadi begitu besar sehingga Kerajaan tidak akan mampu membayarnya.

            Contohnya dalam tahun 1965, perbelanjaan sebenar bagi gaji dan pencen serta lain-lain berjumlah RM540.7 juta atau 33.2 % dari jumlah perbelanjaan biasa. Sementara dalam tahun 1969 adalah dianggarkan bahawa angka itu meningkat kepada RM650.6 juta atau 33.8 % dari perbelanjaan. Angka-angka ini tidaka termasuk gaji bagi guru-guru dalam Perkhidmatan Guru Yang Disatukan atau pekerja-pekerja bergaji hari. Jika gaji ini dicampurkan dalam perbelanjaan gaji tahunan Kerajaan Persekutuan, maka jumlahnya akan melebihi 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan biasa. Ini pada peringkat Persekutuan sahaja, tidak termasuk gaji yang dibayar dalam 13 buah negeri.

            Pemimpin-pemimpin kesatuan yang berjuang menuntut kenaikan gaji pekerja-pekerja tidak sedar tentang kesulitan yang dihadapi oleh Kerajaan. Sekiranya semua tuntutan mereka dipenuhi, maka Kerajaan akan menghadapi keruntuhan ekonomi.

            Sungguhpun begitu pemimpin-pemimpin Kesatuan Sekerja terus membuat janji  kepada pekerja bahawa mereka akan memperjuangkan soal kenaikan gaji sekiranya mereka dipilih, dan tentulah pekerja-pekerja tertarik dengan janji itu. Mereka juga berkata bahawa MIC sangat kurang menolong pekerja-pekerja.

            Semasa menjalankan tugas di kementerian masing-masing, Tun Sambanthan dan Manickavasagam sentiasa mempunyai perhubungan rapat dengan pekerja-pekerja. Sungguh pun begitu oleh kerana mereka insaf bahawa Kerajaan tidak terdaya memenuhi segala tuntutan gaji, maka mereka tidak boleh membuat janji sebagaimana yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kesatuan atau ahli-ahli politik yang memujuk pekerja-pekerja untuk kepentingan diri mereka. i.

            Dalam kempen plihan raya, pemimpin-pemimpin politik dan kesatuan menuduh menteri-menteri ini tidak menolong untuk mendapatkan gaji yang lebih, walhal setiap orang tahu apa yang telah dibuat oleh Tun Sambanthan untuk menubuhkan syarikat-syarikat kerjasama memiliki harta di kalangan pekerja-pekerja India untuk mengatasi masalah pemecahan ladang-ladang. Sungguh pun begitu pemimpin-pemimpin kesatuan dengan tidak bertanggungjawab telah berjanji yang mereka akan mendapatkan kenaikan gaji bagi mencari sokongan pekerja-pekerja.

            Satu peristiwa yang telah berlaku dalam pilihan raya lepas dapat membuktikan sejauh manakah kempen menentang Kerajaan telah diperhebatkan di kalangan pekerja-pekerja India. Tun Sambanthan telah memberitahu saya bahawa dia telah pergi ke sebuah berhala di Jalan Bangsar untuk satu istiadat, dan apabila dia keluar dari rumah berhala itu, dia dapati bendera Persekutuan di keretanya telah dikoyak. Kawasan ini ialah sebuah sarang kediaman pekerja-pekerja India, dan kerana itu tentulah orang-orang di situ jugalah yang melakukan perbuatan itu.

            Peristiwa-peristiwa menentang Kerajaan yang seperti ini sangatlah mendukacitakan, terutama sekali jika diingatkan bagaimana Kerajaan telah menyediakan banyak faedah untuk pekerja-pekerja, tetapi mereka tidak menghargai jasa-jasa Kerajaan itu. Bandingkan Malaysia dengan Negara-negara lain di sekeliling kita, dan tuan-tuan akan insaf “bagaimana bertuahnya tinggal di sini”.

            Pekerja-pekerja India ini telah lama menaruh perasaan dendam, tetapi ketika itu tidak dapat diagak sikap mereka sebagai pengundi dalam pilihan raya 1969. Adakah mereka akan menyokong Perikatan atau parti-parti lain?

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)

Advertisements
%d bloggers like this: