13 Mei – Sebelum & Selepas
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

BAB 9 : Hasil Yang Mengejutkan

DALAM pilihan raya tahun 1969, banyak masalah besar yang perlu dihadapi, seperti pengundi-pengundi yang baru didaftarkan yang besar bilangannya. Apakah sikap yang akan mereka ambil apabila mereka masuk ke tempat mengundi untuk menanda kertas-kertas undi mereka?.

            Perikatan boleh merasa yakin bahawa dengan jasa-jasa yang telah dibuat olehnya itu, ia akan mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi dan sekalipun diramalkan keputusan-keputusan pilihan raya itu dengan berdasarkan kepada sambutan yang begitu kecil terhadap parti-parti lain pada masa yang lepas, tetapi puak-puak pembangkang menggantungkan harapan di atas kemungkinan berlakunya sikap berpaling tadah di kalangan pengundi-pengundi. Tetapi dalam pilihan raya terdahulu, kejadian yang seperti itu tidak pernah berlaku. Mereka mengharapkan kempen mereka yang liar dan kotor itu akan dapat menarik pengundi memilih calon-calon mereka.  

            Ada lagi satu masalah yang dihadapi. Dalam pilihan raya 1964, apabila pengundian dijalankan buat pertama kalinya untuk peringkat persekutuan dan negeri-negeri pada satu masa yang sama, keputusannya adalah merupakan satu pengesahan bahawa Perikatan adalah sebuah parti yang layak diberi amanah untuk memegang Kerajaan. Lima tahun telah berlalu dan parti-parti baru telah ditubuhkan, orang-orang muda buat pertama kalinya dapat menjadi pengundi-pengundi, dan di sesetengah negeri, masalah-masalah tempatan telah dijadikan masalah besar, seperti soal taraf pelabuhan bebas bagi Pulau Pinang. Pendek kata, adakah soal-soal tempatan itu akan menentukan undi kebangsaan atau pun sebaliknya? Adakah mereka akan ingat apa yang telah dibuat oleh Perikatan untuk bangsa dan negara?

            Sebagaimana pilihan raya yang lepas, hari mengundi telah berjalan dengan licin di seluruh Malaysia Barat dan merupakan satu tempoh bertenang selama 12 jam sebelum timbulnya rasa gelisah dan gembira semasa undi-undi dikira dan keputusannya diisytiharkan.

             Keputusan undi pada kali ini telah memeranjatkan semua parti-parti politik. Inilah yang dikatakan cara demokrasi.

            Papan-papan tanda pilihan raya telah didirikan di seluruh negara untuk mencatat keputusan undi. Selepas pengundian ditutup pada jam 8.00 malam, orang ramai telah berhimpun di tempat-tempat itu atau pun pulang ke rumah untuk menunggu keputusan menerusi televisyen atau radio dan juga radio-radio transistor.

            Saya sendiri telah berada di rumah saya di Alor Setar, dan semua Menteri-menteri Kabinet yang lain juga berada di rumah dalam kawasan masing-masing.

            Keputusan pengiraan undi bagi kawasan-kawasan dalam bandar telah diisytiharkan lebih awal dari keputusan-keputusan bagi kawasan-kawasan luar bandar yang pengundi-pengundinya berselerak. Dari keputusan-keputusan awal yang telah diisytiharkan selepas tengah malam, maka terbayanglah bahawa Perikatan di Pulau Pinang akan hilang kuasanya.

            Pengundi-pengundi di Pulau Pinang, iaitu sebuah negeri yang terkenal sebagai sarang puak-puak pelampau, tidak lagi mempunyai Parti Buruh untuk disokong tetapi kejayaan Parti Gerakan, iaitu sebuah parti yang baru yang seorang demi seorang calonnya telah berjaya di peringkat negeri, adalah menunjukkan bahawa sikap berpaling tadah telah berlaku di negeri itu. Selepas daripada beberapa keputusan lagi diisytiharkan, maka makin jelaslah bahawa Perikatan tidak ada harapan lagi untuk memegan kuasa di Pulau Pinang.

            Keputusan-keputusan yang memeranjatkan telah disiarkan melalui radio dan televisyen. Parti-parti Gerakan dan DAP telah mendapat kejayaan yang besar dalam kawasan-kawasan Negeri Selangor, dan selepas itu saya berasa amat terharu kerana keputusan-keputusan di Negeri Kedah juga telah menunjukkan kekuatan UMNO di negeri itu juga telah goyang. Ini menunjukkan bahawa kempen kotor yang dilakukan oleh Pas  telah membawa kejayaan kepada mereka.

            Kekalahan UMNO dalam beberapa kawasan di  Kedah, iaitu sebuah negeri yang sentiasa disifatkan sebagai sebuah kubu kekuatan Perikatan sehingga hari ini, adalah disebabkan oleh sikap orang-orang Cina tidak menyokong parti itu. Walhal di tangan merekalah terletak undi pemutus untuk memberi kemenangan kepada calon UMNO.

            UMNO telah mengalami beberapa kekalahan di dalam negeri saya sendiri sekalipun sesetengahnya dengan bilangan undi yang sangat kecil. Misalnya Menteri Penerangan dan Penyiaran, Senu bin Abdul Rahman telah tewas hanya dengan kekurangan 88 undi sahaja. Kiranya beribu-ribu orang Cina memberi undi mereka kepadanya, tentulah dia telah berjaya. Begitulah juga keadaan yang terjadi di atas diri Dr. Mahathir dan Mohamed Zahir.

            Perbuatan berpaling tadah ini telah timbul dengan begitu besar sehingga saya sendiri cuma dapat kelebihan undi kira-kira 3,000, walhal pada masa yang lepas saya sentiasa mendapat kelebihan undi sebanyak 11,000 atau pun lebih.

            Dengan terbitnya keputusan yang menunjukkan kekalahan seorang lagi menteri, iaitu Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Dr. Lim Swee Aun di Taiping dan juga kekalahan beberapa orang ahli Parlimen Perikatan yang terkemuka di Selangor, maka suasana pada subuh hari Ahad, 11 Mei itu sangatlah muram dan merupakan masa hadapan yang gelap untuk Perikatan. Tetapi ada kala keputusan-keputusan dari kawasan-kawasan luar bandar yang terpencil mula diterima, maka barulah nampak bersinar kembali masa hadapan Parti Perikatan.

            Keputusan-keputusan yang diterima daripada negeri-negeri di sebelah Selatan dan Pantai Timur mula menunjukkan bahawa negeri-negeri ini, kecuali Kelantan, masih berdiri di belakang Perikatan. Pengaruh yang telah menakutkan orang-orang Cina di negeri Kedah nampaknya tidak ada di Johor dan Pahang. Jadi jelaslah bahawa pengaruh yang mendorong orang-orang Cina membuang undi mereka menentang Perikatan datangnya dari Pulau Pinang, iaitu sarang bagi komunis, kongsi-kongsi gelap dan puak-puak pelampau yang lain.

            Sebaliknya terdapat juga di Pulau Pinang baba-baba dan nyonya-nyonya, iaitu orang-orang Cina yang telah diperanakkan di negeri itu yang taat setianya kepada negara  sama seperti orang-orang Melayu. Cara-cara dan tabiat mereka dan juga makanan mereka hampir-hampir sama dengan orang-orang Melayu. Bahasa mereka pun bercampur aduk di antara bahasa Hokkien dan Melayu. Sungguh pun begitu mereka tidaklah bersedia hendak melawan mana-mana puak yang kuat dan bersatu seperti komunis dan dengan sebab itu mereka terpaksalah berdiam diri.

            Saya telah menceritakan mengenai kekacauan yang berlaku di Pulau Pinang atas masalah penilaian semula mata wang yang lama, pembunuhan seorang pekerja UMNO dan gerakan-gerakan lain yang ada hubungannya dengan Komunis dan anasir-anasir lain yang tidak setia yang kesemuanya telah dilancarkan dari Pulau Pinang.

            Kejadian ini dapatlah menghuraikan sebab-sebab kenapa Perikatan telah kalah di Pulau Pinang dan juga di Province Wellesley di mana orang-orang Cina telah berpaling tadah. Perbuatan berpaling tadah di kalangan orang-orang Cina ini telah melarat ke Kedah, terutamanya sekali di bahagian Utara, tetapi di sebelah Selatan kesetiaan kepada Perikatan masih tetap kuat.

            Menjelang tengah hari pada hari Ahad 11 Mei, keputusan-keputusan pilihan raya telah pun dapat dilihat dengan jelas. Kerajaan Perikatan masih dapat mengekalkan kuasanya di negeri-negeri kecuali di Pulau Pinang di mana Parti Gerakan telah menang dan juga di Kelantan di mana PAS masih terus berkuasa. Dengan kempen kotor mereka, maka mereka telah berjaya menambahkan kekuatan mereka di peringkat Persekutuan dan bilangan ahli-ahli Pas dalam Parlimen telah bertambah sebanyak tiga kerusi lagi.

            Di Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Perikatan telah mendapat kelebihan kerusi yagn banyak. Sungguhpun begitu Perikatan hampir-hampir kalah di Perak dan Selangor. Di Perak, Perikatan telah memenangi 19 kerusi, ini merupakan jumlah kerusi yang terbanyak sekali bagi sebuah parti yang bertanding di Perak jika dibandingkan dengan parti-parti yang lain.

            Perikatan di Perak telah dapat membentuk Kerajaan dengan adanya sikap yang ditunjukkan oleh Parti Gerakan. Di Selangor kemenangan Perikatan sama banyak dengan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti Pembangkang, termasuk seorang ahli bebas yang memegang kuasa pemutus.

            Dalam pilihan raya Parlimen, Perikatan telah muncul dengan mendapat kelebihan kerusi yang banyak, lebih dari sekali ganda daripada jumlah kerusi yang dimenangi parti-parti Pembangkang. Perikatan telah menang 76 kerusi berbanding 37  yang dimenangi oleh empat daripada tujuh parti pembangkang. Keputusan-keputusan kerusi yang telah dimenangi oleh parti-parti lain sebagaimana yang terdapat pada hari Ahad 11 Mei ialah seperti berikut:

DAP                –           13

PAS                –           12

GERAKAN       –           8

PPP                –           4

Dua pihak lagi yang telah bertanding, iaitu UMCO dan Bebas telah gagal memenangi sebarang kerusi dalam Dewan Rakyat.

Dalam Parlimen yang lepas Perikatan telah memenangi 89 kerusi di Malaysia Barat, yang telah memberikan kepada parti itu kelebihan suara lebih dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Dalam Pilihanraya ini kelebihan suara Perikatan terkurang.

Kedudukan ini membuktikan apa yang telah saya ingatkan kepada orang-orang Melayu dalam masa kempen bahawa orang-orang Melayu sendirilah yang boleh menjahanamkan kaumnya. Pakatan yang dibuat antara DAP, PPP, Gerakan dan Pas telah mendatangkan kemenangan parti-parti bukan Melayu dengan memperoleh kekuatan politik yang mereka belum pernah berjaya mencapainya pada masa yang lepas. Kekalahan kerusi-kerusi UMNO di Perak dan Selangor tidak sesekali mendatangkan keuntungan kepada orang-orang Melayu di dalam Pas. Mungkin mereka merasa suka dengan kekalahan Perikatan di kawasan-kawasan yang tersebut, tetapi kejadian itu menjejaskan kedudukan orang-orang Melayu khasnya dan negara amnya. Jika kejadian ini terus berlaku, apakah harapan kita untuk masa hadapan?

(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)

Advertisements
%d bloggers like this: